Rabu, 22 April 2015

UMNO tiada kaitan dengan bantahan salib

 
Bantahan yang disertai ahli UMNO dianjurkan atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tiada kaitan dengan parti.


noh



SHAH ALAM: Protes anti salib di Taman Medan pada Ahad lalu tiada kaitan dengan UMNO walaupun peserta bantahan itu terdiri daripada ahli parti berkenaan.

Penjelasan itu diberikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Beliau menegaskan, protes yang disertai ahli UMNO itu dianjurkan atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tiada hubung kait dengannya.

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik nama NGO yang diwakili oleh peserta berkenaan.

“Perkara itu (demo) tidak ada kaitan dengan UMNO. Apa kena-mengena dengan UMNO. Mengapa mesti kaitkan dengan UMNO?

“Ada juga ahli UMNO yang jadi ahli PERKASA, ada yang jadi ahli persatuan penduduk, awak kena tengok mereka bertindak atas kapasti apa,” katanya ketika ditemui ketika lawatan ke Hospital Shah Alam pada Selasa.

Noh menegaskan, UMNO Selangor tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap ahli parti kerana mereka tidak menggunakan sepanduk yang mengaitkan demo itu dengan UMNO.

Kenyataan Noh itu bercanggah dengan kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi yang sebelum ini dilaporkan berkata tindakan akan dikenakan terhadap ahli UMNO yang mengambil bahagian dalam demo itu termasuk didakwa mengikut Akta Hasutan.

Malah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga dilaporkan telah mengubah pendirian dan menyatakan peserta demo boleh disiasat mengikut Akta Hasutan, sekiranya ada laporan polis dibuat.
Salah seorang peserta demo anti salib itu, Abdullah Abu Bakar, yang didakwa pemimpin UMNO bahagian dan merupakan abang kepada Khalid.

Manakala wanita yang dilihat memegang playcard ketika demo adalah Munaliza Hamzah, bekas calon UMNO untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan pada 2008.

Tiada ulasan: