Selasa, 7 April 2015

Ubah kaedah pembiayaan, 70 peratus universiti swasta bakal ‘gulung tikar’

okm

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Penang Institute memberi amaran bahawa kira-kira 70 peratus institusi pendidikan tinggi swasta akan ‘gulung tikar’ tahun ini berikutan perubahan dalam kaedah pembiayaan.

Pengurus Besar Penang Institute Dr Ong Kian Ming berkata, berdasarkan semakan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), 45 peratus daripada kolej universiti dan universiti swasta tidak mempunyai aset mencukupi untuk menampung liabiliti semasa mereka.

“Data SSM menunjukkan 28 universiti swasta atau 46 peratus daripadanya mengalami kerugian dalam tahun fiskal 2013.

“Manakala sekitar 71 peratus di bawah purata pasaran dari segi aset yang mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kemungkinan ‘gulung tikar’ itu diperkukuhkan menerusi tindakan kerajaan memotong pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak 15 peratus untuk universiti swasta.

“Berdasarkan data SSM, perubahan pembiayaan ini akan menyebabkan 69.2 peratus univesiti swasta mengalami masalah kewangan pada masa akan datang.

“Kira-kira 76.2 peratus kolej universiti dan tiga suku daripada kampus cawangan universiti luar negara akan menyaksikan kewangan mereka berada dalam ‘wilayah’ negatif disebabkan perubahan ini,” ujarnya.

Ahli Parlimen Serdang itu menegaskan, tidak mustahil beberapa pusat pengajian tinggi swasta di negara ini akan mengalami nasib sama seperti Kolej Universiti Sains Perubatan Allianze (AUCMS) yang terpaksa ditutup akibat masalah kewangan.

“The Masterskill Education Group Berhad, pemilik Asia Metropolitan University turut berdepan masalah kewangan apabila harga saham mereka jatuh dari RM4.24 pada Ogos 2010 kepada paras serendah RM0.30 Mei tahun lalu.

“Ia pulih kepada RM0.62 bulan lalu berikutan penyusunan semula dan perubahan dalam pengurusan serta perkongsian pemilikan,” kata Kian Ming.

Selepas dua tahun mengumpul maklumat dan maklum balas berkaitan pendidikan negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui Kementerian Pendidikan akan melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2015 (Pendidikan Tinggi) esok.

Namun kata Kian Ming, pelan tersebut tiada guna jika hanya menumpukan kepada pendidikan tinggi awam, dan tidak menghiraukan pendidikan tinggi swasta yang berdepan implikasi serius. – Roketkini.com


Tiada ulasan: