Tun Dr Mahathir Mohamad Dr Mahathir ketika berucap pada Minggu Media Sosial di Berjaya Times Square Hotel, di Kuala Lumpur, hari ni. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN.
 
 
 
KUALA LUMPUR - "Saya doakan dia (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam keadaan baik," demikian kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga tidak memaksa Najib untuk menerima segala teguran dan kritikannya termasuk menggesa perdana menteri itu bersara kerana itu adalah hak Najib.

"Saya komen perkiraan (risiko politik BN), itu dia punya hal lah, dia nak dengar atau tak," ‎katanya kepada pemberita selepas berucap pada Minggu Media Sosial di Berjaya Times Square Hotel, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian terhadap reaksi balas Najib hari ini bahawa presiden Umno itu tidak keseorangan ketika berdepan dengan kritikan hebat daripada Dr Mahathir.

[ARTIKEL BERKAITAN: Saya sama sekali tidak berasa keseorangan, kata Najib]

‎Najib juga berkata beliau tidak pernah berasa keseorangan, sebaliknya beliau sentiasa ditemani dengan begitu baik.

Ketika ditanya perkara sama ke atas Dr Mahahir, beliau bagaimanapun berkata beliau kini tidak bersendirian kerana sentiasa mendapat sokongan daripada banyak pihak termasuk media.

"Kalau awak semua di sekeliling saya, bagaimana saya keseorangan?" soalnya dengan sinis.

Sementara itu, Dr Mahathir turut mengulangi tuntutannya supaya kerajaan perlu menjelaskan kedudukan sebenar wang negara oleh 1Malaysia Development (1MDB) yang disimpan di sebuah bank, di Singapura.

"Kerajaan kena jelaskan apa yang sepatutnya ‎berlaku (duit) yang sepatutnya berada di bank Singapura tapi tiada di bank Singapura.

"Itu antara persoalan yang kerajaan masih belum menjawab‎, bahkan duit itu juga tiada di Malaysia, di mana duit itu?" soalnya lagi.

Dr Mahathir juga mengakui kegagalan pelaburan 1MDB juga didakwa menjadi punca kepada kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia (RM) pada masa ini.


"Ia akan menjejaskan nilai RM, apabila ekonomi negara tidak dalam keadaan baik, ‎ia boleh sebabkan kejatuhan nilai RM," katanya lagi.