Khamis, 16 April 2015

Tolak jawatan pengerusi PAC, BN Selangor khianat amanah pengundi sendiri

pac-selangor

 Roketkini.com


SHAH ALAM: Keengganan BN Selangor menerima jawatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) adalah bukti jelas bahawa parti itu lari daripada tanggungjawab sebagai ADUN pembangkang untuk turut mengambil bahagian dalam pemantauan serta semakan perbelanjaan dan pengurusan kewangan kerajaan negeri.

ADUN Balakong Eddie Ng Tien Chee dalam satu kenyataan berkata, penolakan tersebut seperti mengkhianati amanah pengundi mereka sendiri.

Menurut Eddie, alasan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Shamsuddin Mohd Lias, ADUN Sungai Burong bahawa jumlah keahlian PAC Selangor tidak seimbang dan dimonopoli ADUN Pakatan Rakyat langsung tidak masuk akal.

“Jumlah keahlian mana-mana jawatakuasa pilihan khas Dewan harus ditentukan berdasarkan bilangan ADUN mengikut parti masing-masing.

“Tindakan mereka ini menunjukkan minda ADUN BN yang sempit serta masih mengamalkan budaya politik yang ketinggalan zaman,” kata Eddie dalam satu kenyataan.

Ujarnya, PAC berfungsi untuk menyemak perbelanjaan kerajaan negeri, malah pengerusinya berkuasa memulakan siasatan terhadap mana-mana jabatan kerajaan di Selangor.

“Beliau juga boleh menentukan cara penyiasatan, seperti memanggil pendengaran saksi secara awam ataupun tertutup selain memberi saranan kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah tertentu.

“Ini mungkin merupakan salah satu punca kenapa pembangkang tidak berani menerima jawatan ini, kerana bimbang sekiranya ahli parlimen Pakatan Rakyat akan menuntut jawatan Pengerusi PAC di Parlimen.

“Kerajaan Selangor berani memberi kuasa dan ruang yang begitu besar kepada pembangkang untuk menyemak kira-kira negeri kerana kerajaan Pakatan Rakyat bersikap telus.

“Saya berpendapat ia tidak harus dijadikan isu kerana ini merupakan suatu penghormatan dan pengiktirafan kepada ADUN Pembangkang untuk menerima jawatan tersebut,” tambah Eddie.

Dewan Negeri Selangor pada 4 Disember 2014 meluluskan pindaan Peraturan Tetap 68(1) bahawa adalah wajib bagi Ketua Pembangkang memegang jawatan Pengerusi PAC, setaraf negara membangun di seluruh dunia.

“Ini jelas menunjukkan bahawa jawatan Pengerusi PAC yang ditawarkan kepada Ketua Pembangkang (Selangor) bukan setakat boneka seperti yang dikatakan oleh Shamsuddin,” ujar Eddie.

Mesyuarat pertama PAC Selangor diadakan hari ini selepas tertangguh mulai 30 Oktober 2014 berikutan perletakan jawatan Shamsuddin Lias sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor dan keenggangan BN menamakan calon baru bagi jawatan tersebut.

Mesyuarat turut meluluskan Ahli Dewan Negeri kawasan Sekinchan, Ng Suee Lim memangku jawatan pengerusi PAC sehingga pihak Dewan menerima pencalonan nama daripada pihak pembangkang.

“Keputusan ini dibuat memandangkan peranan jawatankuasa ini sangat penting dalam sistem demokrasi bagi memastikan perbelanjaan wang oleh kerajaan negeri dilakukan dengan baik.

“Mereka (BN) perlu mempertimbangkan keputusan dan mencalonkan Ketua Pembangkang baru secepat yang mungkin agar UMNO-BN tidak mengkhianati pengundi mereka,” ujar Eddie.

Hadir sama mesyuarat PAC Selangor hari ini ialah ADUN Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail. – Roketkini.com


Tiada ulasan: