Khamis, 16 April 2015

Tiga pandangan hukum kutip cukai


GST baru
 
 
 
PUTRAJAYA - [KEMASKINI] Terdapat tiga pandangan mengenai hukum mengutip cukai daripada rakyat, menurut perspektif ulama.

Pengarah Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Arieff Salleh Rosman berkata, tiga pendapat itu adalah haram kerajaan mengutip cukai, harus tetapi bersyarat dan haram tetapi bersyarat.

“Ulama bermazhab Hambali menyatakan haram. Sebagai contoh, katanya, Ibnu Muflih menjelaskan diharamkan mengambil cukai daripada harta seperti yang dikutip oleh raja daripada rakyat.

“Ulama terdahulu juga mengemukakan pendapat yang sama. Ibnu al-Azraq menjelaskan antara contoh siasah yang batil menurut syarak ialah mengutip cukai secara zalim,” katanya dalam Seminar Kebangsaan GST Menurut Perspektif Islam, semalam.

Bagi pendapat kedua, kerajaan harus mengenakan cukai sekadar memenuhi keperluan umum pentadbiran negara.

“Imam al-Syatibi ketika mengulas isu pemimpin mengutip cukai daripada rakyat yang kaya ketika wujud keperluan berkata, (ia dibolehkan) untuk menjaga perbatasan negara dan memelihara kestabilan sedangkan jumlah tentera semakin meningkat dan perbendaharaan tidak mencukupi.

"Pemimpin yang adil boleh mengenakan cukai kepada rakyat yang kaya bagi memenuhi keperluan itu," katanya.

Menurutnya, imam itu berpendapat, cukai juga boleh dikutip jika, tanpa mengutip cukai, kuasa pemimpin yang adil akan tergugat dan negara Islam akan terdedah kepada penguasaan kuasa kafir.

Menurutnya, jika sumber pendapatan negara yang dikutip daripada rakyat hanya dikhususkan kepada zakat, maka perbelanjaan negara akan terjejas.

“Agihan zakat yang dikutip ditetapkan oleh ALLAH. Jika sesuatu perbelanjaan negara tidak berkaitan dengan lapan asnaf zakat, maka sumber zakat tidak boleh digunakan.

“Sebagai contoh, ulama berpendapat, harta zakat tidak boleh digunakan untuk membina jambatan, membina jalan raya, mendalamkan sungai, membina sekolah dan masjid,” katanya.

Bagi pendapat ketiga yang mengatakan hukumnya haram mengutip cukai tetapi dibenarkan dengan bersyarat, Arieff Salleh berkata, majoriti ulama menyatakan cukai itu hanya untuk sementara waktu dan ia dikenakan ke atas rakyat yang kaya pada kadar tertentu.

“Imam al-Ghazali menjelaskan, jika terdapat keperluan, kerajaan dibenarkan mengutip cukai tambahan daripada orang kaya," katanya.

Tiada ulasan: