Adnan Yaakob Adnan Yaakob


 
KUALA LUMPUR - "Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai Rompin, bila tiba masanya, kami pastinya akan memaklumkan kepada rakyat mengenai rancangan kami," kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Adnan berkata beliau sangat sedih dengan kematian mengejut Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang dianggap sahabat sejak hampir 30 tahun.

"Bagi pihak diri saya, Negeri Pahang dan Umno Pahang, kami mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Jamaluddin dan juga semua keluarga mangsa kemalangan nahas helikopter," katanya.

Adnan berkata, sumbangan Jamaluddin untuk agama, bangsa dan politik sangat dihargai dan dikenang.

"Saya berharap badan penyiasatan akan melakukan siasatan menyeluruh dan membentangkan laporan mereka. Hanya selepas keputusan siasatan nahas dikeluarkan, kami (kerajaan negeri) akan buat keputusan selanjutnya," kata Adnan ketika ditemui selepas pengebumian jenazah Jamaluddin di Makam Masjid Negara di sini, hari ini.

Beliau turut menyifatkan Anggota Parlimen Rompin itu sebagai seorang yang mempunyai watak berwarna-warni dan ceria. - Bernama