Jumaat, 10 April 2015

Terbukti kerajaan peralat SPR, DAP gesa henti persempadan semula

Zairil

 Roketkini.com

 
KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa bekas Perdana Tun Dr Mahathir Mohamad mengubah banyak kerusi majoriti merupakan bukti bagaimana kerajaan telah memperalatkan SPR demi kepentingan politik mereka.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari menggesa supaya proses persempadanan semula SPR digantung serta merta untuk memastikan badan itu bebas sepenuhnya.

“Ini bermaksud bahawa SPR tidak layak untuk menguruskan hal ehwal pilihan raya termasuk proses persempadanan semula kawasan yang sedang dilakukan.

“Justeru, proses ini hendaklah digantung sehingga reformasi menyeluruh dapat dilakukan ke atas SPR, termasuk menjadikannya sebagai institusi yang benar-benar bebas,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu berkata, kenyataan Ismail turut menunjukkan bahawa keputusan pilihan raya di negara ini sebenarnya tidak sah bukan saja dari segi moral tapi juga perundangan.

“Dalam erti kata lain, kerajaan sebenarnya tidak mewakili rakyat Malaysia dan tidak layak membuat sebarang dasar atas nama kepentingan rakyat termasuk melaksanakan cukai GST yang amat membebankan itu,” jelas beliau.

Tegas Zairil lagi, UMNO sememangnya tidak pernah berminat untuk meletakkan kepentingan bangsa Melayu sebagai teras perjuangan mereka.

Menurut beliau, ini dapat dilihat apabila mereka sanggup memecahkan kerusi Parlimen majoriti Melayu apabila sentimen pengundi Melayu tidak memihak kepada mereka, sepertimana berlaku pada 1999.

“Jelas, UMNO sendiri yang menggadai kepentingan Melayu semata-mata untuk mengekalkan kuasa mereka.

“Sikap Ismail ini sebenarnya menyerlahkan betapa salahguna kuasa telah lama berdarah daging dalam kerajaan UMNO-BN.

“Pada masa sama, ia juga mendedahkan kebobrokan dan keangkuhan pemimpin-pemimpin parti pemerintah yang bukan saja mencabuli hak demokrasi rakyat tapi berani menguar-uarkannya tanpa segan silu,” ujarnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: