Jumaat, 24 April 2015

TEMPO pertahan laporan kemewahan Najib, Rosmah

 
Pengarang Tempo mendakwa artikel itu ditulis berdasarkan sumber maklumat dipercayai yang dipilih secara cermat.


najib tempo



PETALING JAYA: Majalah Tempo mempertahankan artikel yang mengulas kemewahan Perdana Menteri dan isterinya kerana menggunakan sumber berita yang dipercayai.

Pengarang Kanan Tempo, Puwanto Setiadi berkata, pihaknya memilih secara cermat sumber berita sebelum menyiarkan gaya hidup mewah Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

“Seperti sebelumnya, kami akan memilih sumber (berita) dengan secermat mungkin.

“Sehingga kini kami percaya dengan sumber-sumber yang kami gunakan,” katanya, lapor Malaysiakini.

Puwanto berkata, dalam artikel itu pihaknya turut menyiarkan ulasan Pejabat Perdana Menteri berhubung dakwaan kemewahan hidup Najib dan Rosmah.

Susulan laporan itu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mahu mengadakan perjumpaan dengan Pengarang majalah itu untuk menerangkan kedudukan sebenar termasuk latar belakang Perdana Menteri.

Mengulas perkara itu, Puwanto berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan Zahrain dan sedia mendengar penjelasan versi Zahrain.

Tempo menyiarkan artikel berkaitan gaya hidup mewah Najib dan Rosmah dalam edisi khas sempena Ulang tahun ke-60 Persidangan Asia-Afrika di Bandung.

Rencana bertajuk “Hidup Mewah Sang Perdana Menteri’ turut mendakwa gaya hidup yang dipaparkan tidak setanding dengan gaji yang diterima Najib sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009.

Artikel itu turut mengaitkan kekayaan luar biasa anak tiri Najib, Riza Aziz.

Dia dikatakan membeli dua unit kondominum di tengah-tengah kota New York berharga ratusan juta ringgit.

Tiada ulasan: