Khamis, 16 April 2015

Siapa Akan Ganti JJ Sebagai Strategis PM?


A Kadir Jasin

UPDATE, 14 April – SATU lagi persoalan. Adalah tanpa JJ, kaedah komunikasi Mohd Najib akan bertambah baik atau makin buruk? Temu ramah TV beliau yang kononnya untuk menjawab semua soalan dikatakan tidak menjawab apa-apa. SOAL TAK JAWAB, kata Tun Dr Mahathir dalam post terbaru blognya. (Baca di sini).

Pemuda Umno pula "usung" Perdana Menteri. Tapi jaga-jaga. Macam tak "steady" saja! Silap-silap Saudara Khairy Jamaluddin jadi Ketua Pembangkang termuda dalam Dewan Rakyat.


Usung jangan tak usung, tapi nampak tak berapa "steady"
POSTING ASAL



DENGAN maaf dan tanpa prejudis. Saya tidak menulis apa-apa mengenai kematian tragik (Tan Sri) Jamaluddin Mohd Jarjis pada 4 April lalu sebab saya kenal beliau lama dan boleh dikatakan rapat juga.

Kali terakhir saya berjumpa beliau beberapa bulan lalu kerana beliau ingin menceritakan kepada saya mengenai Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Berhad yang beliau adalah pengerusinya.

Masalahnya apabila kita kenal seseorang dan dia meninggal dunia secara tragik, kita akan mendapati sukar memilih bahasa yang sesuai untuk meluahkan perasaan kita dan menceritakan apa yang kita tahu.

Saya mengenali beliau sebagai jurutera muda dan pensyarah Universiti Malaya kerana minat beliau dalam politik dan kesediaan beliau memberi pandangan mengenai isu-isu semasa.

Imej beliau dibantu oleh hakikat bahawa bapanya, yang dikenali di kalangan wartawan jenayah sebagai “Tuan” Mohd Jarjis, pernah menjadi Ketua Polis Negeri Pahang dan Terengganu, dan apabila bersara menjadi pensyarah sambilan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Saya berasa perlu menulis rencana lebih seminggu selepas pemergian JJ kerana seorang kawan yang boleh dikira akrab dengan Allahyarham berkata saya wajar menulis mengenai beliau, tetapi dengan mengkhususkannya kepada peranan beliau sebagai ketua turus de facto Perdana Menteri (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak.

JJ Sebagai Chief of Staff PM

 

Jadi kami berbincang mengenai siapa JJ kepada Mohd Najib. Kata kawan saya itu, peranan (dan jasa) JJ wajar dicatatkan untuk diketahui dan diadili oleh umum.
Kesimpulan yang boleh saya buat hasil daripada perbincangan dengan kawan saya itu dan daripada sumber-sumber lain ialah JJ adalah strategis, penasihat, sahabat dan “family friend” nombor satu Perdana Menteri.

Beliaulah yang merangka dan melaksanakan dasar komunikasi dan penjenamaan (branding) Perdana Menteri yang melahirkan pemerintahan ala Presiden Amerika (American presidential style) oleh Mohd Najib. Sekali gus acuan itu menjadikan JJ ketua turus (chief of staff).

Sebab itulah kita lihat Mohd Najib memerintah seolah-olah beliau seorang presiden dengan barisan kakitangan, penasihat dan pegawai khas sendiri. Gaya pentadbiran ini memisahkan beliau daripada parti dan, dalam hal-hal tertentu – seperti 1Malaysia Development Berhad – memisahkan beliau daripada Kabinet. Sedangkan sistem kita adalah sistem ala Westminster.

Tidak hairanlah kalau agensi berita Perancis, L’Agence France-Presse (AFP) dalam laporannya mengenai kematian JJ menyebut JJ sebagai Chief of Staff Perdana Menteri. Bagi saya jolokan itu amat tepat sekali walaupun jawatan itu tidak wujud dalam tatanama (nomenclature) perjawatan Jabatan Perkhidmatan Awam.

JJ rakan nombor satu AS di Malaysia

Dalam kapasiti sebagai ketua turus itulah beliau menentukan segala tindak-tanduk Perdana Menteri dengan melaksanakan apa yang beliau pelajari mengenai pentadbiran ala White House (Rumah Putih) ketika menjadi duta ke Amerika Syarikat antara tahun 2009 dan 2012.

Perlu disebutkan juga bahawa JJ ada sahabat nombor satu Amerika Syarikat di Malaysia. Bendera di Kedutaan Amerika di ibu negara dikibarkan separuh tiang pada 5 April bagi menghormati beliau.
Kawan JJ itu memberitahu saya, beliau mengasaskan perhubungan akrab Malaysia-Amerika atas landasan bahawa musuh bersama Malaysia dan Amerika adalah China. 

Separuh tiang cara Kedutaan Amerika tunjuk hormat

Strategi JJ Tonjolkan Mohd Najib

 

Beliau berperanan merangka strategi politik dan pentadbiran Mohd Najib. Manifestasi kepakaran (handiwork) beliau ialah kempen Pilihan Raya Umum 2013 di mana Mohd Najib ditonjolkan sebagai simbol utama.

Maka timbullah slogan-slogan seperti “I Love PM” dan “Sokong Saya Undi BN” serta penggunaan media baru seperti Facebook dan Twitter untuk mempromosikan Perdana Menteri. Dalam kempen PRU 2013 peranan Umno dan BN tidak menonjol kononnya Mohd Najib lebih laku daripada Umno atau BN.

Itulah kaedah yang digunakan oleh para strategis Presiden Barrack Obama ketika Pilihan Raya Presiden Amerika tahun 2008 di mana Obama menang besar. 


JJ dikatakan pencetus slogan "I Love PM"
Allahyarham pernah membuat panggilan telefon kepada saya dari Washington DC bagi menyatakan betapa berlainannya Obama berbanding Presiden-Presiden Amerika sebelum itu. Serta-merta kami berbeza pendapat.

Tetapi strategi yang sama yang beliau gunakan bagi pihak Mohd Najib tidak berhasil. Barisan Nasional hampir kalah dilanda Tsunami Cina (meminjam ungkapan Mohd Najib) dan banyak pihak, termasuk (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan (Tun) Daim Zainuddin, secara terbuka berkata prestasi buruk BN berpunca daripada kesilapan strategi oleh “penasihat half-past six”.

Namun hampir tidak ada siapa menuding jari ke arah JJ. Sebaliknya beliau menjadi lebih berpengaruh dan disanjung oleh Mohd Najib dan digeruni oleh orang di sekeliling Perdana Menteri. Hatta Umno dikatakan mendengar cakap beliau.

PM Hilang Orang Kanan 

 

Kawan JJ itu berkata, kematian tragik beliau memberi kesan besar kepada pentadbiran Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Apatah lagi turut terkorban ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, (Datuk) Azlin Alias. JJ dan Azlin ibarat jari dengan kuku.

Selain memegang kunci kepada jentera politik, propaganda dan penjenamaan Mohd Najib, Allahyarham juga diketahui memainkan peranan penting dalam pembiayaan politik (political funding) Perdana Menteri. 

Jadi siapakah yang akan menggantikan beliau sebagai operator nombor satu PMO dan sejauh manakah pembiayaan politik Perdana Menteri terjejas akibat kematian mengejut beliau?

Ada pihak mengatakan Setiausaha Agung Umno merangkap Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku (Teuku) Adnan Mansor mungkin mengisi kekosongan itu. Ini berdasarkan kenyaringan beliau membela dan mempertahankan Perdana Menteri.

Namun saya kurang yakin dengan ramalan ini. Rasanya sukar bagi Mohd Najib mencari pengganti serupa JJ.

Ada orang yang tahu mengenai Perdana Menteri atau yang telah melihat gerak-geri beliau selepas kematian JJ mengatakan kesan emosi dan fizikal terhadap Mohd Najib sangat jelas.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan: