Khamis, 16 April 2015

Selepas Siti Nurhaliza Dan Rozita Che Wan, NGO Diterajui Abang Muhyiddin Juga Sokong Mahathir

shahbudindotcom


Dalam pertembungan yang sedang berlaku antara Tun Mahathir dengan Najib Razak, ramai yang tertanya-tanya apakah pendirian Pemikir atau Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia mengenainya.

Pertanyaan itu timbul kerana Pemikir dianggotai oleh beberapa tokoh berpengaruh daripada kalangan bekas Menteri, Ahli Parlimen, pegawai tinggi kerajaan serta tokoh penting dalam masyarakat.

Antara mereka yang menganggotai Pemikir ialah Sabbaruddin Chik, Azmi Khalid, Aziz Shamsuddin, Osu Sukam, Drs Suleimah Mohamad dan ramai lagi. Bekas Peguam Negara, Abu Talib Othman dan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan juga menganggotai NGO itu.

Lebih menarik ialah Presiden Pemikir adalah Aziz Yassin, bekas Ahli Parlimen Muar yang juga abang kepada Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Selain itu, NGO ini juga difahamkan kerap mengadakan pertemuan dan bertukar-tukar fikiran dengan Tun Mahathir dengan kali terakhir mereka mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu ialah pada 8 April lalu.

Lalu, ramai yang bertanya, apa pendirian Pemikir sebenarnya - menyokong Tun Mahathir atau Najib?

Ramai juga bertanya, kenapa Pemikir masih berdiam diri sedangkan penyanyi Siti Nurhaliza dan pelakon Rozita Che Wan pun berani menyatakan sokongan terbuka kepada Tun Mahathir?

Tidakkah NGO itu terpanggil untuk bersama-sama dengan Tun Mahathir yang sudah mulai menyebut nama Muhyiddin sebagai pengganti yang layak mengambil alih tempat Najib?

Setelah diasak oleh banyak pihak, Aziz Yassin dalam SMS yang banyak dihantar kepada ramai kenalan dan rakan-rakannya pagi tadi, beliau memaklumkan sokongannya terhadap Tun Mahathir.

Dalam SMSnya itu, beliau berkata, Pemikir ditubuhkan dengan sokongan daripada Tun Mahathir, malah bekas Perdana Menteri itu juga adalah Penaung Seumur Hidup kepada Pemikir.

Oleh yang demikian, tambah Aziz lagi, Pemikir menyokong penuh segala tindakan yang dibuat oleh Tun Mahathir demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Di ketika Najib mungkin berbangga dengan sokongan bertalu-talu daripada Ketua Bahagian UMNO, Wanita, Pemuda, Puteri dan sebagainya serta Tun Mahathir pula mengeluh beliau mungkin keseorangan, ramai yang cintakan negara ini merasakan bekas Perdana Menteri itu sebenarnya lebih disokong dalam diam oleh rakyat negara ini.

Buktinya melalui sokongan yang dinyatakan oleh Siti Nurhaliza kepada Tun Mahathir di Instagram miliknya saja telah mencatat sebanyak 17. 2 juta "like" serta lebih 700 komen sehingga pagi tadi.

Tidak diragui lagi, sokongan rakyat kepada Tun Mahathir sebenarnya jauh lebih besar daripada gegak-gempita yang dihebohkan melalui  pertemuan Najib dengan Ketua-Ketua Bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO.

Mungkin kerana "sedikit tersindir" dengan keberanian Siti Nurhaliza dan Rozita Che Wan menyatakan pendiriannya, maka Aziz Yassin akhirnya tampil dengan tebaran SMS yang banyak dihantar kepada rakan-rakan dan kenalannya mengenai pemakluman sokongannya kepada Tun Mahathir itu.

Meskipun agak terlambat berbanding Siti Nurhaliza dan Rozita Che Wan, sekurang-kurangnya Aziz Yassin menjadi "berani" juga akhirnya.

Tiada ulasan: