Khamis, 9 April 2015

Rayu rakyat Malaysia pulang

 
Lebih 300 pelajar Malaysia di Yemen masih enggan pulang kerana khuatir masa depan pembelajaran mereka akan terjejas.


hisamuddin


KUALA LUMPUR: Kerajaan merayu warga Malaysia yang berada di Yemen, kebanyakannya terdiri daripada pelajar supaya pulang segera ke tanah air.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pada masa sekarang terdapat 600 penuntut negara ini di sana dan separuh daripada mereka dilaporkan enggan pulang kerana khuatir pembelajaran akan terjejas.

“Saya merayu kepada mereka supaya pulang kerana keselamatan mereka menjadi keutamaan.

“Kita juga memberi jaminan bahawa pelajar Malaysia yang dibawa pulang nanti akan diserapkan terlebih dahulu di sekolah agama agar pelajaran mereka tidak terjejas,” katanya dalam satu sidang media di Kementerian Pertahanan.

Katanya, walaupun situasi di Hadramawt masih aman berbanding kawasan-kawasan lain di Yemen tetapi keadaan di Aden masih tegang dan tidak menentu.

“Ketika ini seramai 67 rakyat Malaysia masih berada di Aden dan kerajaan sedang berusaha untuk membawa mereka keluar,” katanya lagi.

Berikutan ketegangan konflik yang berlaku, Hishammuddin memaklumkan, seramai 154 warga negara ini telah berjaya dibawa pulang menggunakan beberapa pernerbangan komersial.
Semua mereka telah selamat tiba ke tanah air pada Rabu lalu.

Tiada ulasan: