Rabu, 22 April 2015

PRK: Undi BN bererti setuju dengan GST

Oleh BASIRON ABDUL WAHAB
 
 
ROMPIN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dan Permatang Pauh memberi ruang kepada rakyat menyuarakan bantahan mereka terhadap perlaksanaan sistem percukaian baharu, GST yang didapati membebankan mereka.

Timbalan Pengarah 1 PRK Rompin, Mohd Fadli Mohd Ramly berkata, rakyat perlu menggunakan ruang terbuka ini bagi menghantar isyarat kepada kerajaan Umno-BN melalui undi dalam PRK berkenaan.

Beliau berkata, ada orang bertanya, kalau bagi isyarat dengan mengundi PAS dalam Pilihan Raya Kecil Rompin ini nanti adakah kerajaan akan menghapuskan GST,?

Beliau menjelaskan, jika mereka mengundi BN, pastilah GST akan diteruskan.

“Undi BN pasti GST akan diteruskan, sebaliknya jika mengundi PAS, kerajaan akan tahu bahawa rakyat membantah GST yang di-kuatkuasakan 1 April lalu itu, katanya.

Rakyat boleh memilih sama ada ingin membantah GST dengan mengundi PAS, atau menyokong GST dengan mengundi BN yang akan terus meningkatkan kos kehidupan rakyat.

Difahamkan orang ramai pengguna sudah merasai kesan GST yang mengakibatkan mereka terpaksa berbelanja lebih daripada sebelumnya. Malah semakin banyak berbelanja semakin banyaklah pula wang dibayar kepada GST.

GST adalah sistem percukaian yang tidak mengenal siapa, sama ada golongan miskin atau kaya, semuanya akan dipaksa membayarnya.

GST direka untuk meningkatkan pendapatan kerajaan sehingga RM23 bilion setahun.

Sementara itu seorang pengkaji politik, Mohd Noor Keria 64, berpendapat, walaupun PAS
mempunyai banyak isu dalam PRK Rompin seperti GST dan sebagainya, namun ia belum cukup kuat untuk mengalahkan BN memandangkan jumlah majoriti yang dimiliki BN dalam PRU13 lalu terlalu besar iaitu lebih 15,000 undi.

Namun peluang PAS untuk mengurangkan majoriti adalah munasabah berdasarkan mood pengundi dan calon yang di bakal mewakili parti itu.

Katanya, Rompin adalah lubuk BN, dan majoriti penduduknya adalah orang Melayu yang mudah diurus oleh Umno, golongan berpendapatan rendah dan sederhana seperti peneroka, nelayan dan penduduk tradisional biasanya mudah termakan dengan janji manis Umno-BN.

Orang Asli juga ramai di Rompin iaitu sebanyak 8 peratus di mana undinya boleh dikira 100 peratus memihak kepada BN.

Bagaimanapun, menurut Mohd Nor, PAS dengan bantuan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat perlu menggunakan PRK ini untuk memperjelaskan isu GST kerana ia memberi kesan besar kepada rakyat yang tidak mampu ditutup dengan pemberian BR1M sebanyak RM900 setahun.

Berbeza dengan Permatang Pauh di mana kawasan itu adalah kubu KeADILan, BN dijangka berjaya mengurangkan majoriti tetapi tidak akan berjaya merampas kerusi itu.

“Permatang Pauh adalah kubu KeADILan, Umno tidak akan berjaya merampasnya dengan mudah,? ujarnya.

Mohd Nor berharap, penduduk Rompin mendapat manfaat dari PRK ini, kerana penduduk Rompin perlukan lebuh raya, jalan raya dan berbagai kemudahan asas untuk meningkatkan kemudahan asas di kawasan mereka.

Isu jalan raya yang buruk dan berbahaya di kawasan berkenaan gagal diberi perhatian oleh ahli parlimen dahulu, begitu juga Rompin seharusnya dibangunkan kerana ia menjadi pusat persinggahan pelancong untuk ke Pulau Tioman.

Buat masa ini pelancong lebih selesa menggunakan Mersing, Johor untuk ke Tioman berbanding Tanjung Gemok, di Rompin yang ketinggalan itu.

Menurut Mohd Nor, pilihan raya kecil biasanya memberikan durian runtuh kepada penduduk, harap Rompin tidak terkecuali.

Tiada ulasan: