Khamis, 9 April 2015

Pota: Mat Sabu pertahan MP PAS 'ponteng'

MALAYSIAKINI


 


PAS mempertahankan tindakan anggota parlimennya yang tidak hadir ketika pengundian Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) sehingga ia berjaya diluluskan Selasa lepas.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata perkara itu bukan satu isu selain menggesa orang ramai lebih adil dengan melihat kepada penyertaan wakil PAS dalam perbahasan.

Beliau juga berkata wakil PAS telah pun merancang urusan lain sebelum Pota diluluskan lebih jam 12 tengah malam dengan undi 79-60 memihak kepada BN.

"Jadi kita kena tengok rekod kehadiran dan penyertaan dalam Dewan. Itu lebih adil.

"Sebagai contoh, Datuk Mahfuz (Omar), Datuk Kamaruddin Jaafar dan Dr Siti Mariah Mahmud, mereka ini antara yang aktif ambil bahagian dalam perdebatan.

"Saya rasa bukan satu isu. Kalau saya (jadi MP) kebetulan saya berada di luar negara, (bagaimana?)" katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Beliau mengulas kecaman terhadap beberapa wakil rakyat PAS yang 'ponteng' itu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata anggota Parlimen yang sering tidak hadir dan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan yang sepatutnya didedahkan.

"Jadi kita kena tengok secara keseluruhan dalam tempoh dua tahun selepas pilihan raya, siapa kaki tuang, tak ambil bahagian (dalam perdebatan). Sepatutnya wartawan tahu (siapa).

"Jadi kena tengok rekod MP yang kaki tuang, tak hadir. Itu yang sepatutnya didedahkan," katanya tanpa menyebut pemimpin yang dimaksudkan.

"Ada yang jarang hadir, kebetulan dia ada (pada malam itu), dia tidak dikecam," katanya lagi. 


Tiada ulasan: