Sabtu, 11 April 2015

Perjanjian Air: Selangor sudah beri maklum balas, kata MB

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memaklumkan sudah memberi maklum balas terhadap surat Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang bertarikh 12 Mac pada minggu lalu.
 
Sehubungan itu beliau menunggu tarikh pertemuan yang bakal diadakan bersama Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bagi membincangkan Perjanjian Induk penstrukturan semula industri air di Selangor.
 
"Saya sudah menulis surat kepada Menteri bagi memohon satu pertemuan. Dan kini kita sedang menunggu tarikh tersebut," katanya ringkas ketika diajukan perkembangan terbaru lanjutan tarikh akhir perjanjian induk tersebut.
 
Sebelum ini kerajaan negeri memberi alasan gagal mengemukakan lanjutan tarikh akhir bagi Perjanjian Induk penstrukturan semula industri air di Selangor kerana persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sedang berlangsung.
 
Azmin turut didakwa gagal memberi respon terhadap surat kementerian terbabit, yang turut memperincikan beberapa perbincangan terhadap perkara yang tertangguh.
 
Kerajaan Selangor terdahulu dilaporkan mempunyai masa hingga 30 April ini untuk memberi jawapan tentang pelanjutan tarikh akhir bagi Perjanjian Induk mengenai penstrukturan semula industri bekalan air Selangor. 
 
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata jika gagal berbuat demikian, Kerajaan Persekutuan akan menganggap bahawa Kerajaan Selangor tidak berminat menerima tawaran mengenai langkah penyusunan semula itu dan pengambilalihan penuh pemegang konsesi di Selangor seperti yang terkandung dalam Perjanjian Induk.
 
 

Tiada ulasan: