Jumaat, 17 April 2015

Penuntut UTAR maut dirempuh kereta

MALAYSIAKINI


Seorang penuntut perempuan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) maut, manakala lima rakannya cedera ringan apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta lain di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 33.7 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Kampar, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, S. Hemala, 20, yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata kereta Proton Wira yang dinaiki enam penuntut dan dipandu P. Rashvinya, 20, itu dikatakan keluar dari simpang sebuah pasar raya secara tiba-tiba, menyebabkan kereta model Nissan Sylphy yang dipandu Loke Siew Chun, 35, melanggar bahagian tepi kanan kenderaan tersebut.

"Ketika kejadian lampu isyarat di persimpangan tiga berkenaan tidak berfungsi. Kereta Nissan Sylphy dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh itu tidak dapat mengelak dan melanggar kereta yang dinaiki penuntut itu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kemalangan itu menyebabkan Hemala yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah.

Kong Soon berkata mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat. - Bernama


 

Tiada ulasan: