Selasa, 7 April 2015

Penggunaan USD3 bilion dana 1MDB, Najib bohong lagi

tony_pua
Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak berbohong mengenai penggunaan pinjaman USD3 bilion yang dikumpul anak syarikat Kementerian Kewangan, 1MDB Global Investments Limited.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, jawapan Najib kepada soalan parlimennya tentang bagaimana pinjaman itu digunakan, bercanggah dengan penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir Mac 2014.

Menurut Tony, pembohongan pertama adalah mengenai Abu Dhabi Malaysia Investment Corporation (ADMIC) projek usahasama antara 1MDB dan Aabar Investments PJS melibatkan penggunaan USD1.5 bilion.

“Pertama, ia jelas bahawa ADMIC langsung tidak diambilkira dan mungkin gagal selepas dua tahun.

“Namun, Menteri Kewangan hanya berkata separuh benar bahawa ‘ia telah dirancang’ tanpa sebarang penjelasan,” kata Tony dalam satu kenyataan.

Setiausaha Publisiti DAP itu menegaskan, berdasarkan pekeliling tawaran dan prospektus bon, keseluruhan USD3 billion jelas untuk digunakan oleh ADMIC bagi pembangunan Tun Razak Exchange (TRX).

“Namun, Menteri Kewangan telah berbohong mengenainya dengan menyatakan hanya USD1.5 billion untuk usahasama projek itu.

“Walaupun separuh daripada dana USD1.5 bilion tersebut tidak dilabur ke dalam TRX, namun 1MDB sebenarnya sangat terdesak untuk mencari dana baru bagi membangunkan projek tersebut,” ujarnya.

Memetik laporan kewangan 1MDB Tony berkata, Najib sekali lagi berbohong apabila mendakwa kononnya baki USD1.56 bilion telah diletakkan dalam portfolio pelaburan pelbagai sektor di bawah seliaan sebuah agensi penarafan kredit antarabangsa.

Jelasnya, kenyataan Najib itu bercanggah dari penyata kewangan 1MDB yang menyebut dana tersebut telah pun dibelanjakan untuk ‘pembayaran hutang dan modal kerja’

“Nampaknya, semua jawapan dari Kementerian Kewangan berkenaan 1MDB sekarang ini tidak boleh dipercayai.

“Terdapat percubaan secara bersepadu dan bahaya untuk menutup penyelewengan berbilion ringgit 1MDB yang terbeban dengan hutang RM42 bilion.

“Bagaimana seorang Menteri Kewangan boleh melakukan pembohongan demi pembohongan secara berulang kali di Parlimen? soal Tony. – Roketkini.com

Tiada ulasan: