MALAYSIAKINI
Pemuda PAS akan mendapatkan penjelasan daripada sayap parti itu di Pulau
Pinang yang enggan memberi kerjasama dalam pilihan raya kecil Permatang
Pauh yang ditandingi rakan mereka PKR.
Ketuanya Suhaizan Kaiat berkata masalah itu akan diselesaikan secepat
mungkin dan menasihatkan Pemuda PAS negeri membangkitkan rasa tidak puas
hati mengikut saluran yang betul.
Pemuda PAS juga berkata akan mendapatkan reaksi daripada Pemuda PKR dan DAP negeri berhubung perkara ditimbulkan.
“Kita berusaha untuk bertemu dengan kedua-dua pihak untuk membantu
menyelesaikan masalah ini secepat mungkin selewat-lewatnya sebelum
penamaan calon,” katanya.
Penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh ditetapkan pada 25 April, manakala pengundian pada 7 Mei.
Pemuda PAS Pulau Pinang berkata tidak akan bekerjasama sepanjang kempen
pilihan raya kecil itu selagi Pemuda PKR (AMK) dan Pemuda DAP (DAPSY)
tidak menarik balik kenyataan berkaitan Presiden PAS Datuk Seri Abdul
Hadi Awang dan hudud.
DAPSY sebelum ini dilapor membekukan kerjasama dengan Pemuda PAS ekoran
tindakan kerajaan PAS Kelantan membentangkan pindaan enakmen hudud.
'Akui salah faham'
Manakala AMK Pulau Pinang pula mendesak Hadi memberi kenyataan rasmi
berhubung isu kerajaan perpaduan PAS-Umno pada 27 Februari lalu.
Sebelum ini Pemuda PAS Pulau Pinang juga dilapor mahu calon PAS
diletakkan pada pilihan raya kecil itu, walaupun ia merupakan kerusi
tradisi PKR.
Suhaizan
berkata, keputusan Pemuda PAS Pulau Pinang itu tidak pernah
dibincangkan dalam Jawatankuasa Pusat PAS atau dewan itu sendiri.
Beliau menegaskan bahawa semua jentera PAS diarahkan membantu PKR untuk
berdepan BN dalam pilihan raya kecil itu, di samping Rompin, pada 5 Mei
ini.
"PAS Pusat telah membuat satu keputusan supaya membantu PKR di Permatang
Pauh. Jadi tak berbangkit tak nak tolong. Kita akan terus membantu,”
katanya.
Suhaizan juga menyuarakan kekhuatirannya terhadap langkah Pemuda PAS
Pulau Pinang yang dilihatnya boleh memberi tanggapan tidak baik kepada
Pakatan menjelang pilihan raya kecil itu.
"Kita akui ada salah faham (akar umbi) di bawah seperti mengeluarkan
sesuatu kenyataan media yang menjadi punca berlakunya perbezaan
pandangan, perbezaan pendapat.
"Saya melihat (kesannya itu) kepada Pakatan Rakyat itu sendiri. Saya
bimbang persepsi yang kurang baik kepada kita. Sebab itu ia perlu segera
diselesaikan," katanya.
Pilihan raya kecil Permatang Pauh perlu diadakan berikutan keputusan
Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon
anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim (atas).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan