Ahad, 12 April 2015

PAS tetap laksana dasar kepimpinan ulama - Haron Din [TONTON VIDEO]

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic

 
 
BANGI: PAS akan mengekalkan serta berpegang teguh kepada corak kepimpinan ulama yang menjadi tunjang identiti parti berteraskan Islam itu selagi ia tidak diubah dan diputuskan dalam muktamar tahunan yang diadakan setiap tahun.
 
Di sebalik percanggahan pandangan mengenai kelompok mana lebih tepat menerajui parti, Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata konsep kepimpinan ulama itu seharusnya disokong serta dipertahankan dalam menerajui hala tuju dan dasar perjuangannya.
 
Justeru katanya, Majlis Syura Ulama akan terus mempertahankan corak kepimpinan ulama selagi ia tidak diubah.
 
"Majlis Syura Ulama seboleh-bolehnya tidak mahu memihak kepada mana-mana kelompok cuma Syura Ulama ini memastikan bahawa dasar PAS sentiasa berada di jalan yang betul.
 
"Saya ingatkan sekali lagi, oleh kerana muktamar PAS tahunan merupakan badan tertinggi di dalam PAS untuk buat keputusan," katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos.
 
Haron menambah pendirian meletakkan ulama di barisan tertinggi kepimpinan PAS tidak akan menimbulkan penolakan kerana ia merupakan keputusan semua ahli dalam muktamar.
 
"Badan tertinggi ialah muktamar tahunan yang mana ia membuat keputusan PAS hendaklah berpandukan dan berpegang kepada konsep kepimpinan ulama," katanya.
 
Jelas beliau, selagi muktamar tidak ubah keputusannya maka selama itulah PAS akan terus diterajui kepimpinan ulama.
 
Beliau juga yakin seluruh ahli PAS memahami prinsip itu dan tidak ada kegusaran kerana mereka akur kepada muktamar.
 
"Itu bukan Syura yang buat tapi muktamar, selagi muktamar tidak ubah maka tetap Syura akan pertahankan PAS mesti berada di atas kepimpinan ulama.
 
"...dan kepimpinan ulama itu kita lihat maksudnya presiden hendaklah seorang ulama.," katanya.
 
Selepas pelbagai pertelingkahan politik yang dialami, PAS kini berdepan satu lagi 'pertarungan' iaitu pemilihan parti yang dijadualkan awal Jun ini yang menyaksikan pertembungan golongan ulama dan profesional.
 
Pemilihan kali ini dianggap paling menarik dalam sejarah PAS kerana ia tidak berlegar-legar soal gabungan antara ulama dan bukan ulama sebaliknya bakal menyaksikan pertembungan antara kedua-dua kumpulan tersebut ekoran daripada dakwaan wujudnya usaha menyingkirkan penyandangnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Usaha menukar presiden hangat diperkatakan sejak muktamar tahunan PAS tahun lepas dan perkara itu sekali lagi timbul susulan daripada tindakan Abdul Hadi dalam beberapa isu yang berlaku kebelakangan ini termasuk kegagalan beliau menangani konflik dengan PKR dan DAP.
 
Ketika ini kedudukan Abdul Hadi masih belum tergugat walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi melemahkan kepimpinan beliau namun pada pemilihan kali ini Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa telah layak bertanding jawatan presiden selepas memperoleh kelayakan pencalonan daripada kawasan.
 
PAS pernah diterajui golongan bukan ulama
 
Tambah Haron lagi, identiti PAS sebagai parti berteraskan kepimpinan ulama tidak wajar disisihkan kerana dengan berpegang kepada dasar itu ia menjadi satu-satunya Islam yang mampu berdiri sendiri dengan kekuatannya.
 
Jelas pengamal perubatan Islam ini, PAS pernah diterajui golongan profesional termasuk semasa era pimpinan Dr Abbas ilias dan Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda.
 
"Presiden seorang ulama, nak tukar boleh...tiada masalah dengan syarat bawa dulu cadangan dalam muktamar buang keputusan PAS berpegang dengan kepimpinan ulama.
 
"Kosongkan balik macam dulu, PAS pernah dipimpin oleh bukan ulama misalnya kita lihat dahulu Allahyarham Dr Abbas Elias bukan ulama tapi seorang profesional.
 
"Kemudian Dr Asri bukan ulama tapi memimpin, boleh tidak mengapa tapi bila tukar kepada PAS hendaklah berpegang kepimpinan ulama maka Syura mesti mempertahankan dasar," katanya.
 
Haron berkata PAS perlu terus mengekalkan kepimpinan ulama sebagai tunjang kepimpinan parti manakala kumpulan profesional sebagai pemimpin barisan kedua yang menjadi pelengkap kepada acuan dalam parti tersebut.
 
"Atas itu saya mengatakan bahawa selagi tak ubah PAS akan terus berada di atas kepimpinan ulama yang mana presidennya hendaklah seorang ulama yang diterima dalam PAS sebagai ulama," katanya.
 
Untuk rekod, Muktamar PAS pada 1982 telah memutuskan dengan jelas dan nyata bahawa PAS melaksanakan dasar kepimpinan ulama dalam menerajui PAS.
 
Keputusan muktamar itu telah digunapakai tanpa sebarang masalah dan dihayati dengan teguh dan patuh.
 
 
 
 

Tiada ulasan: