Pas sanggup kalah pilihan raya demi hudud Ahmad (kiri) semasa mendengar penerangan tentang pelan pembinaan baharu Masjid Bunut Susu, Mukim Kiat, semalam.
 
 
 
PASIR MAS - [DIKEMASKINI] Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yakin pelaksanaan hudud tetap dapat dijalankan biarpun Pas bakal hadapi risiko kalah dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, kenyataan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung Pas sanggup kalah pilihan raya berbanding tolak laksana hudud selari dasar perjuangan parti berkenaan sejak dulu lagi.

 “Dasar kita perjuangan Islam dan ia termaktub dalam Perlembagaan Pas. Hasrat kita mahu lihat terlaksana pemerintahan berpandukan nilai Islam di Malaysia,” katanya ketika mengulas pendapat Abdul Hadi bahawa Pas sedia hilang undi atau kalah dalam pilihan raya asalkan masyarakat selamat dengan adanya hudud dalam ' Bicara Minda' anjuran Sinar Harian.

Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas berkata, ulama perlu terus diberi kepercayaan menerajui kepimpinan Pas pada muktamar yang berlangsung Jun ini.
Beliau berkata, ia juga bersesuaian dengan parti berkenaan yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan parti sejak sekian lama.
 
“Bukan itu sahaja, ulama tonggak penting kepada perjuangan parti dan pada saya, ia wajar dikekalkan,” katanya demikian kepada pemberita pada Majlis Solat Hajat Mula Kerja Pembinaan Baharu Masjid Bunut Susu, Mukim Kiat, semalam.
 
Menurutnya, bagaimanapun semuanya terserah kepada muktamar kali ini untuk menentukan kepimpinan parti berkenaan masa hadapan.
 
“Mungkin sudah ada idea baharu, siapa tahu,” katanya. 
 
Akhbar baru-baru ini melaporkan, perbalahan antara kumpulan ulama dengan golongan pro-Anwarinas kian membarah dan hampir tersimpul mati apabila Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, tampil menggelar pihak yang didakwa pro ulama sebagai ‘geng juhala’ iaitu bermaksud jahil.