Selasa, 28 April 2015

PAS Pelawa Tun M Kongsi Pentas Ceramah Kempen PRK Rompin

Oleh: SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM


 

Dr Mahathir turun padang buat pertama kalinya menerusi program Bicara Negarawan baru-baru ini.
 
 
 
Dikemaskini  TANJUNG GEMOK: Selepas hasrat untuk berdebat dengan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan tidak kesampaian, PAS cuba mempelawa Tun Dr Mahathir Mohamad untuk 'berkongsi pentas ceramah' dengan parti itu di Rompin.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, pelawaan itu dibuat selepas bekas Perdana Menteri itu 'turun padang' baru-baru ini untuk membicarakan isu-isu semasa berkaitan kepincangan pentadbiran kerajaan sedia ada.

"Beliau buat 'jelajah' satu negara untuk jumpa rakyat bagi menjelaskan bagaimana Perdana Menteri gagal memimpin negara dengan baik.

"Jadi saya sebagai Naib Presiden PAS mempelawa Tun Mahathir bersama-sama kami dalam PRK Rompin ini. Kalau beliau mahu berkongsi pentas silakan," katanya.



Beliau berkata demikian semasa ceramah PAS di Kampung Piangu di sini yang dihadiri kira-kira 50 orang, malam Isnin.

Sebelum ini, Dr Mahathir menyampaikan ucapan mengenai isu dan persoalan berbangkit berhubung pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Program Bicara Negarawan anjuran badan bukan kerajaan (NGO).

Ia adalah program turun padang pertamanya untuk berbicara secara langsung mengenai isu-isu semasa yang mana sebelum ini kebanyakan persoalan mengenai kepimpinan Perdana Menteri disentuhnya menerusi tulisan di laman blognya atau sidang akhbar.


Kehadiran Dr Mahathir pada program Bicara Negarawan mendapat sambutan ramai.

Menurut Salahuddin, Dr Mahathir adalah seorang tokoh politik yang  dihormati, justeru kehadirannya akan membuka mata rakyat mengenai situasi yang melanda negara pada hari ini.

Pada ceramah itu, PAS turut mempersoalkan mengenai kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibicarakan tanpa mendedahkan motif sebenar pembunuhan tersebut.

Malah, isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Felda dan kehadiran kebanyakan pemimpin Umno ke Rompin membantu calon antara senjata yang digunakan PAS untuk menyerang BN pada PRK kali ini.

Pada masa sama, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengalu-alukan bekas Perdana Menteri itu untuk berkongsi pentas dengan PAS bagi membicarakan isu-isu semasa yang melanda negara pada hari ini.

"Jika Tun M melihat ia satu tuntutan dan keperluan, maka saya setuju beliau turun ke Rompin bagi menjelaskan dan membuktikan bahawa beliau bukan keseorangan.

"PAS sanggup sediakan pentas bagi beliau dan ini bukan perkara baru kerana Tun M pernah berkongsi pentas dengan PAS suatu ketika dulu," katanya.

Tiada ulasan: