Rabu, 22 April 2015

Nik Nazmi: Kita Lawan akan teruskan protes

MALAYSIAKINI


 


Kita Lawan akan meneruskan protes anti-GST pada 1 Mei walaupun mereka telah diberi amaran oleh ketua polis negara supaya memohon permit terlebih dahulu.

"Ugutan KPN bahawa tindakan akan dikenakan terhadap Kita Lawan adalah bercanggah dengan semangat Perlembagaan Malaysia dan tidak sesekali melemahkan semangat anak muda untuk terus berhimpun pada 1 Mei 2015 bagi membantah pelaksanaan GST," kata Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Nik Nazmi yang bercakap bagi pihak anak muda Kita Lawan, berkata kenyataan Tan Sri Khalid Abu Bakar itu seolah-olah memperkecilkan Perlembagaan Malaysia yang menjamin hak semua rakyat untuk berhimpun secara aman.

"Saya ingin mengingatkan beliau bahawa bukan sahaja rakyat tidak perlu mendapat permit polis untuk berkumpul, malah notis 10 hari seperti dalam Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman, telah diisytiharkan bercanggah dengan Perlembagaan oleh Mahkamah Rayuan," kata Nik Nazmi merujuk kepada kesnya berkenaan Himpunan Black 505.

Beliau juga merujuk kepada syor Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam laporan tahunan Suhakam 2014 yang menyebut bahawa peranan polis dalam perhimpunan awam terhad kepada pengurusan dan kawalan lalulintas bagi memudahkan orang ramai. Suhakam juga mengingatkan bahawa mana-mana himpunan tidak perlu mendapat kebenaran pihak polis.

"Anak muda Kita Lawan telah buktikan dalam himpunan-himpunan sebelum ini bahawa himpunan berjalan dengan aman dan lancar jika tiada sekatan atau provokasi mana-mana pihak.

"Kami harap pihak polis dapat memberikan kerjasama dan menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya untuk mengawal lalulintas bagi memudahkan dan menjamin keselamatan peserta Himpunan 1 Mei," kata Nik Nazmi.

Kita Lawan merancang untuk mengadakan satu demonstrasi besar-besaran pada 1 Mei di pusat bandar KL untuk membantah GST.


Tiada ulasan: