Selasa, 14 April 2015

Nik Aziz tidak pernah mahukan kerjasama PAS dan UMNO

lim lip eng

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini mengecam tindakan sesetengah pemimpin PAS yang berkeras mahu bekerjasama dengan UMNO dan mendakwa Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mahukan kerjasama tersebut.

Beliau berkata, sepanjang beberapa pertemuannya dengan Mursyidul Am PAS itu beberapa tahun lalu, Nik Aziz dengan jelas bertegas bahawa PAS dan Pakatan Rakyat tidak boleh percaya kepada UMNO yang melakukan sesuatu hanya untuk mengekalkan kuasa.

“Tok Guru pernah dilaporkan berkata bahawa PAS tidak akan pernah digigit oleh ular yang sama dua kali kerana mereka mempunyai pengalaman pahit pada lewat 70-an, apabila disingkirkan oleh UMNO.

“Justeru saya terkejut dan hairan untuk mendengar beberapa pemimpin PAS ‘mendedahkan’, kononnya selepas kematian Tok Guru, beliau mengalu-alukan kerjasama antara PAS dan UMNO

“Kenapa sesetengah pemimpin PAS masih berkeras mahu bekerjasama dengan UMNO? Adakah mereka tidak meninggalkan cita-cita yang dibayangkan oleh Allahyarham Tok Guru?” soalnya.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur itu menyatakan, beliau masih ingat ketika Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam pada Disember 2009 apabila Tok Guru bertanyakan soalan kepada UMNO ‘Nak pinang lagi?, yang bermaksud ‘adakah anda ingin menarik kami sekali lagi?.

“Saya fikir orang ramai terutama ahli PAS mengetahui kebenarannya apabila pemimpin tertinggi mereka telah gagal menjelaskan mengapa ketika Tok Guru masih hidup, beliau tidak pernah menyatakan secara terbuka mengenai PAS perlu bekerjasama dengan UMNO.

“Kita juga boleh mencari banyak kenyataan media beliau bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan UMNO kerana sememangnya tidak boleh dipercayai,” tegas Lip Eng. – Roketkini.com


Tiada ulasan: