Isnin, 13 April 2015

Najib Harapan Saya, Tetapi Dia Mungkir Janji - Dr Mahathir

Oleh: RAHMAH GHAZALI
 
 
 
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamed mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak memungkiri janji untuk membina jambatan bengkok antara Johor Baharu dan Singapura.

Menerusi temuramah sebanyak empat bahagian yang dimuat naik di blog, Din Turtle, dua hari selepas temuramah Najib di televisyen, Dr Mahathir mendakwa perdana menteri itu menyokong projek berkenaan ketika beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Harapan saya, bila Pak Lah dah tak ada (letak jawatan), dia (Najib) akan buatlah jambatan itu. Najib pada satu masa sebut 'walaupun Singapura setuju atau tidak setuju pun, kami nak buat'. Tetapi bila dia jadi perdana menteri, dia tak buat," kata bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak gembira apabila Najib memungkiri janjinya.

"Jika Singapura tak nak buat (tak setuju), saya buat sebelah saya, apa salahnya. Bukan pasal nak buat jambatan bengkok, tetapi pasal nak buat sebelah tak jadi. Ia adalah hak berdaulat kita, dalam kawasan wilayah kita, kawasan perairan. Separuh daripada tambak itu adalah milik kita. Saya tidak sentuh langsung bahagian Singapura.

"Dia (Najib) ada minta persetujuan dengan Singapura, nak buat benda di dalam negara kita. Di mana kedaulatan kita? Di mana kemerdekaan kita? Adakah kita sebahagian daripada Singapura?" soal Dr Mahathir.

Dalam satu temuramah khas bersama TV3 pada Khamis lalu, Najib berkata, serangan Dr Mahathir terhadap beliau tercetus disebabkan kemungkinan perbezaan pendapat mengenai jambatan bengkok dan pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Mengenai BR1M, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan idea BR1M kerana memberikan wang percuma kepada rakyat.

"Kita tak pernah beri duit kepada orang. Kita beri peluang pekerjaan untuk rakyat, beri mereka pendidikan, latih mereka maka mereka boleh hidup dan buat duit untuk diri mereka sendiri. Kalau kebajikan, kita perlu beri tetapi hanya kepada rakyat yang memerlukan bantuan kebajikan," katanya.

Mengenai kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Dr Mahathir berkata, adalah lebih baik untuk Najib meletakkan jawatan sekarang bagi mengelakkan daripada Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum akan datang kerana siasatan terhadap syarikat itu boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

"Ia perlu sekarang kerana kita masih mempunyai dua tahun lagi untuk pulih. Jika dia (Najib) tidak berundur sekarang, dengan adanya PAC (Jawatankausa Kira-Kira Wang) dan lain-lain yang akan menyiasat untuk dua atau tiga tahun lagi dan sampai pilihan raya pun, dia masih ada, kita akan kalah.
Saya fikir akan ada banyak masalah untuk semua," katanya.

"Kita perlukan pihak yang 'neutral' untuk menjalani siasatan untuk mengetahui ke mana wang itu pergi. Siapa yang mengendalikan wang itu? Siapa Jho Low? Secara tiba-tiba dia menjadi begitu penting. Dalam kerajaan pun dia (Jho Low) tak ada jawatan, dia bukan penjawat awam, secara tiba-tiba dia ada kuasa seperti itu," kata Dr Mahathir.


Mengenai komando polis Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah kerana membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Dr Mahathir berkata, semua individu yang disabitkan bersalah dengan hukuman mati mempunyai peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan.


"Awak tahu, saya dahulu adalah perdana menteri. Tugas saya ialah menasihat Yang di-Pertuan Agong atau Sultan sama ada seseorang itu perlu mendapat perkenan terhadap rayuannya atau tidak," katanya.


Dr Mahathir yang menemui ibu Sirul baru-baru ini menegaskan bahawa isu berkenaan bukan mengenai politik.


Beliau berkata, Sirul sebagai seorang anggota polis tidak akan membunuh kecuali dia diserang atau diarahkan oleh seseorang.

Tiada ulasan: