Rabu, 1 April 2015

Najib cuba elak dari kesalahan



Oleh RAYUSA


DALAM keadaan dihimpit kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang kembali menghantuinya dan 1MDB yang dianggap sebagai fitnah Pakatan Rakyat oleh pemimpin Umno- BN, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak dilihat cuba mengalihkan perhatian. Mungkin untuk mententeramkan hati beliau yang gundah-gulana.

Perdana menteri keenam itu meminta anggota Umno mengetepikan “jemuan” dan “tukang kipas” dalam parti yang selalu saling melaga-lagakan hingga mengancam perpaduan.

Sama ada menyedari Umno semakin nazak atau berpurapura sebaliknya, Najib yang juga Presiden Umno berkata parti tua perasuah itu mampu terus kekal berkuasa dan menang dalam pilihan raya jika “jemuan” (berperangai buruk) tiada dalam parti.

Seolah-olah geram, Najib mengatakan “jemuan” tersebut lebih parah daripada tukang kipas atau batu ronson (penghasut), kerana mereka mengadudombakan ahli Umno sehingga perselisihan diperbesarbesarkan, dan menggugat perpaduan dalam parti.

Dalam ucapannya semasa merasmikan Konvensyen Umno Kedah di Alor Setar, 14 Mac lalu, yang turut dihadiri Menteri Besar merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Dato’ Mukhriz Tun Mahathir, Najib meminta agar semua “perosak” itu ditolak untuk menjamin kemenangan Umno dan BN.

Konvensyen Umno Kedah yang berlangsung selama dua hari itu dihadiri perwakilan Umno dari kesemua 15 bahagian parti seluruh negeri.

Tegas Najib, usaha membebaskan Umno daripada belenggu elemen “jemuan” dan “tukang kipas” yang menggugat perpaduan parti adalah penting dalam memastikan masa depannya yang cerah gemilang.

Bagaikan tidak sedar, Najib menganggap perkara itu lebih penting daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim atau cadangan convert loan (menukarkan pinjaman kerajaan Kedah kepada geran), walaupun ia tidak kurang mustahaknya.

Beliau yakin jika bersatu dengan suara sepasukan, Umno akan terus menang.
Sejak bila Najib tidak mementingkan projek mega?

Adakah setelah kantung kerajaan semakin kempis atau memang telah kering dan beliau menyedarinya?

Ahli Umno, kata Najib, perlu meletakkan sasaran untuk menjamin parti terus kuat dan menang dalam pilihan raya mengatasi segala kepentingan peribadi. Katanya, permasalahan dalaman parti perlu dikurangkan bagi memastikan rakyat tetap menyokong Umno.

Bagaimana mahu mengurangkan jika masalah silih berganti. Ibarat kata Tun Dr Mahathir Mohamad, Umno busuk dari ekor hingga ke kepala dan hanya orang bodoh sahaja yang menganggotainya.

Umno semakin tenat dan Najib dianggap menjadi beban, serta puncanya. Justeru, ahli Umno mahu Najib berundur agar parti mereka dapat diselamatkan. Jadi, aneh dan payah jika Najib mahu menasihatkan ahli yang majoriti menolaknya.

Walau bagaimanapun, Najib mengatakan antara faktor penarik sokongan masyarakat kepada Umno adalah semangat sepasukan, mengurangkan permasalahan dalaman, serta tidak saling mencantas, dan mewujudkan dua pasukan dalam satu bahagian sehingga serba salah untuk membuat pilihan.

Beliau meminta ahli Umno tidak mengulangi kesilapan terdahulu pada masa akan datang. Umno, kata beliau, tidak akan berjaya jika terus dibelenggui perpecahan, perbalahan dan persengketaan.

Oleh itu, menurutnya, amat penting ahli dan pemimpin Umno sentiasa fokus dalam usaha memenangi hati rakyat dan memastikan ia kekal utuh.

Tanpa mengira sama ada ia hanya lakonan atau “wayang,” Najib berkata anggota Umno perlu merasai denyut nadi rakyat kerana untung nasib dalam menentukan kemenangan parti pada PRU14 terletak di tangan rakyat.

Memang Umno Kedah berjaya memenangi semula tampuk pemerintahan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13. Namun begitu, benarkah seperti kata Najib, beliau dapat merasakan Umno Kedah telah mempunyai semangat baharu?

Atas perasaan (atau syok sendiri) itu, beliau mahu usaha untuk menawan hati pengundi Kedah dipertingkatkan dan tidak bersikap leka kerana ada kerusi yang dimenangi BN pada PRU13 hanya dengan majoriti kecil, iaitu 200 undi sahaja.

Pada PRU 13, 5 Mei 2013, Umno Kedah memenangi 367 daripada 672 Pusat Daerah Mengundi (PDM), berbanding hanya 283 PDM pada PRU12, 8 Mac 2008.

Kata Najib, ketua bahagian dan pemimpin pada peringkat lain perlu tahu PDM mana yang kecundang serta meletakkan sasaran untuk meningkatkan bilangan PDM yang dimenangi parti pada PRU14 nanti.

Tegas beliau, semua ahli Umno mesti fokus dan bersasar. Kehilangan tumpuan atau mamai (khayal) dari segi politik akan mengundang padah.

Nampaknya Najib cuba menekankan bahawa sikap mengampu dan saling mengadudombakan dalam kalangan ahli akan memusnahkan Umno. Beliau cuba menafikan bahawa kes pembunuhan model Mongolia dan 1MDB sebagai punca bukan sahaja Umno, malah BN tumbang dalam PRU14 kelak.
Dalam kata lain, Najib mahu mengatakan beliau tidak bersalah dan bukan menjadi punca kebobrokan Umno-BN, malah keadaan negara sekarang.

Najib seperti lupa bukan kes Altantuya, 1MDB, serta sikap mengampu dan mengadu domba sahaja bakal memusnahkan Umno-BN, terlalu banyak isu lain yang semakin mereputkan parti pemerintah itu. Pendek kata, Umno-BN sedang menuju kehancuran.

Tiada ulasan: