Jumaat, 17 April 2015

Mufti Wilayah gesa Putrajaya kecualikan GST kepada orang Islam

THE MALAYSIAN INSIDER


 Mufti Wilayah Persekutuan berkata orang Islam di Malaysia sepatutnya dikcualikan GST kerana mereka sudah membayar zakat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 April, 2015.Mufti Wilayah Persekutuan berkata orang Islam di Malaysia sepatutnya dikcualikan GST kerana mereka sudah membayar zakat. – Gambar fail The Malaysian Insider. 


























Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad menggesa Putrajaya mengecualikan warganegara beragama Islam daripada membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana mereka sudah melunaskan zakat berdasarkan agama Islam.

Cadangan itu dibuat Zulkifli menerusi laman Facebook Mufti Wilayah Persekutuan semalam di samping menggesa Putrajaya mengurangkan kadar GST sedia ada.

"Kadar 6% hendaklah dikurangkan mengikut kemunasabahan dan kemampuan rakyat kebanyakan pada masa kini.


"Masyarakat Islam yang membayar zakat tidak lagi dikenakan GST atau satu mekanisma khusus diwujudkan agar tidak berlaku dua kali pembayaran sehingga terbeban umat Islam itu sendiri."

Kenyataan sama turut diterbitkan laman rasmi mufti Wilayah Persekutuan dalam kolum “Bayan Linnas”.

Dalam tulisan sama, Zulkifli turut menggesa Putrajaya menerangkan, memungut serta mengagihkan GST dengan baik.

"Rakyat jelata dan orang ramai begitu ternanti-nanti ingin melihat hasil daripada percukaian GST, akan membaik pulih kualiti sistem pengangkutan awam, kemudahan awam, pembelajaran dan lain-lain yang bersifat maslahah ‘ammah (berfaedah buat orang ramai).

"Mekanisme dan cara pungutan dan pengagihan perlu selamat daripada sebarang unsur penindasan dan orang miskin dikecualikan daripada dibebani dengan cukai," katanya.

Zakat pendapatan Wilayah Persekutuan kini 2.5% daripada pendapatan dan pembayar zakat boleh mendapat pelepasan cukai.

Sementara itu, GST yang berkuatkuasa pada 1 April lalu berkadar 6% ke atas barangan dan perkhidmatan yang tertakluk cukai.

Tiada ulasan: