Mohd Amar belum fikir lawan naib presiden Mod Amar (tengah) pada sidang media, kelmarin.
 
 
 
KOTA BHARU - Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah akui belum memikirkan pencalonannya sebagai calon naib presiden parti biarpun menerima pencalonan daripada Pas Kawasan Klang.

Beliau berkata, perkara itu masih di peringkat awal dan beliau belum menerima sebarang makluman daripada pihak pengurusan parti itu.

“Saya tak fikir lagi, orang baru mesyuarat, sebab selepas ini pihak pengurusan akan hantar surat, orang calon, calon..kita nak terima tak nak terima itu perkara lain,” katanya kepada media selepas melancarkan dana bantuan kemanusiaan, Al-Quds Care, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Penasihat Al Quds Travel Sdn Bdh, Wan Yahya Wan Salleh, dan Pengarah Urusannya, Wan Mohd Zamri Wan Salleh.

Mohd Amar berkata, beliau sudah dua kali bertanding merebut jawatan berkenaan, mungkin sudah tiba masanya memberi laluan kepada calon lain yang lebih layak.

Mengulas pembinaan rumah kekal untuk mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal dalam bah kuning penghujung Disember lalu, Mohd Amar berkata, sehingga kini kerajaan negeri berjaya menyiapkan kira-kira 20 unit.

Mohd Amar mendakwa, pembinaan rumah diuruskan kerajaan persekutuan lebih perlahan berbanding yang dikendalikan pihaknya dan isu teknikal dikatakan antara faktor utama yang melambatkan proses tersebut, bukan isu tanah sebagaimanapun didakwa.

“Pembinaan rumah berdepan dengan masalah tanah. Jadi untuk bantu kerajaan pusat, kita cadangkan beberapa tapak dan meluluskan tiga kawasan di Kuala Krai, namun perkembangannya masih agak perlahan disebabkan masalah teknikal," katanya.