Khamis, 9 April 2015

Menanti 1 Mei, Mat Sabu congak peluang

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kira-kira dua bulan lagi sebelum pemilihan PAS Jun ini, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu nampaknya masih berteka-teki sama ada akan mempertahankan jawatan atau tidak.

Dilihat bakal berdepan pertarungan paling getirnya kali ini jika memilih untuk berentap, Mohamad masih enggan menyatakan hasratnya secara terbuka, walaupun gerak kerja di peringkat bawah kemungkinan telah berjalan perlahan-lahan.

Mengulas berhubung perkara itu hari ini, Mohamad dalam sidang media di ibu negara berkata beliau masih belum membuat sebarang keputusan.

Beliau memberi alasan mahu menumpukan kepada perhimpunan besar 1 Mei di Kuala Lumpur.

Mohamad (kanan) mempengerusikan himpunan Hari Buruh 1 Mei bagi mendesak pembatalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenal sejak April lalu.

"Saya tak mahu buat pengumuman lagi, saya tak mahu komen lagi. Tunggu sehingga awal bulan Mei.

"Saya sibuk, tumpu lawan BN," katanya sambil menambah akan menilai kemungkinan itu selepas mendapat maklum balas daripada kawan-kawan.

Cabaran paling getir

Difahamkan Mohamad telah selamat dengan sekurang-kurangnya lapan pencalonan kawasan bagi mempertahankan jawatan nombor dua dalam PAS yang disandangnya sejak 2011.

Perlembagaan PAS mensyarakatkan dua pencalonan kawasan untuk layak bertanding mana-mana jawatan peringkat pusat.

Beliau dijangka berdepan pertandingan sekurang-kurangnya dua penjuru dengan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang telah pun menyatakan hasratnya mencabar Mohamad.

Dalam pemilihan lalu, Mohamad atau lebih popular dengan panggilan Mat Sabu menang tipis ke atas Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Berbeza dengan dua tahun lalu, peluangnya kali ini dilihat lebih genting susulan populariti Tuan Ibrahim, seorang tokoh ulama popular PAS, yang berperwatakan lembut dan disenangi kawan dan lawan.

Bagaimanapun, keadaan mungkin berubah dan popularitinya dijangka meningkat mendadak selepas perhimpunan awal Mei ini.

Muktamar pemilihan PAS akan berlangsung pada awal Jun ini. 
 
 
 

Tiada ulasan: