Selasa, 14 April 2015

Mat Sabu Ketuai Jentera PAS Di Permatang Pauh, TITM Di Rompin

KELAB GREENBOC



 
 
Mat Sabu ketuai jentera PAS di Permatang Pauh

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu akan mengetuai jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Manakala Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan mengetuai jentera PRK Rompin 5 Mei, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Ditanya sama ada PAS akan menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon di Permatang Pauh, Mohamad (kanan) menjawab:

“Siapa sahaja calon dalam PRK kita akan bantu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Katanya lagi, beliau yakin PKR akan memenangi di Permatang Pauh dan akan berusaha untuk menambah jumlah majoriti.

Mohamad menambah, PAS negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan sebahagian Kelantan akan membantunya berkempen di Permatang Pauh.

Sementara itu, Tuan Ibrahim pula berkata PAS sudah memulakan kempen di Rompin dan akan dibantu PAS negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan dan sebahagian negeri Kelantan.

Katanya, walaupun PAS kalah dengan majoriti kira-kira 15,000 undi pada PRU lalu, pihaknya tetap akan bertanding, sekurang-kurangnya bagi menyedarkan rakyat mengenai isu-isu semasa.

“Ya, mungkin orang lihat majoriti 15,000 ni terlalu sukar, dalam PRK tidak ada benda yang mustahil.

“Kita hadapi pilihan raya bukan sebab (mahu) menang (saja) tapi soal rakyat, (mereka) perlu dapat penjelasan isu semasa yang berlaku.

“Pilihan raya kecil ini peluang terbaik untuk rakyat perlu lebih terbuka soal isu demokrasi,” katanya.

ULASAN GB

Dua-dua calon Timbalan Presiden. Masing-masing akan berpeluang untuk tunjukkan yang terbaik sebagai Ketua Jentera PAS di dalam PRK nanti.

Berkebetulan pula Mohamad Sabu orang utara dan TITM orang Pahang. Alangkah bagusnya jika kerusi di Permatang Pauh diberikan kepada PAS dan memberi laluan kepada Mohamad Sabu untuk bertanding di situ. Dan TITM bertanding di Rompin. Tetapi oleh kerana PAS menghormati bahawa kerusi Permatang Pauh itu kerusi PKR maka PAS tidak meletakkan calonnya. Kecualilah jika ada "watikah" dari antah berantah yang meletakkan orang PAS sebagai calon Bebas di situ untuk mengalahkan calon Pakatan Rakyat. Macam-macam boleh berlaku di saat Pakatan Rakyat sedang menghadapi kemelut kini. Ia bergantung kepada "kejujuran" sepertimana yang ditekankan oleh salah seorang bakal calon Presiden iaitu Ustaz Ahmad Awang. Pakatan Rakyat musnah apabila tiada kejujuran di dalam persepakatan itu. GB tambah: Tanpa kejujuran lebih baik duduk sendirian dalam hutan, jangan duduk bersama kawan.

Tetapi menyedihkan di Rompin apabila ada terdapat pemimpin PAS yang awal-awal menyatakan bahawa "kita bertanding dalam pilihanraya ini bukan untuk menang. Tetapi ini adalah peluang terbaik bagi rakyat untuk mendapatkan penjelasan terbuka dalam sistem demokrasi kita. Soal menang kalah tidak penting, Ini ruang yang kita ada, kita harus gunakan."...

Jika bukan untuk menang baik tak usah bertanding. Buang karan, buang masa, buang tenaga dan buang sumber. Di dalam seseuatu perjuangan MESTI ADA cita-cita dan hasrat untuk mencapai kemenangan, malah menang dengan cemerlang. Dengan itu baru ada usaha yang kental dan barulah tercapai apa yang dicita-citakan. Bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan ... disitulah letaknya keredhaan Allah kerana telah termaktub di dalam sebuah hadith qudsi bahawa "Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan ia lakukan dengan bersungguh-sungguh dan dengan sebaik-baiknya."

Nampaknya dua calon Timbalan presiden kini berpeluang untuk membuktikan kebolehan masing-masing supaya ianya nanti dapat dinilai oleh para perwakilan muktamar semasa pemilihan. 
 
 

Tiada ulasan: