Jumaat, 24 April 2015

Laluan ditutup untuk penamaan calon

MALAYSIAKINI


 


Polis akan menutup beberapa laluan menghala ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) bagi melancarkan proses penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, esok.

Jurucakap Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk PRK Parlimen Permatang Pauh, ACP Azmi Adam berkata polis terpaksa menutup laluan berkenaan mulai 7 pagi sehingga proses penamaan calon itu selesai bagi mengelak kesesakan trafik di kawasan berkenaan.

Penutupan laluan tersebut ialah daripada lampu isyarat Jalan Mengkuang, persimpangan Jalan Berapit dan Jalan Tok Elong, katanya pada sidang media.

"Pemandu dinasihatkan meletakkan kenderaan di kawasan yang telah ditetapkan dan mengikut arahan polis trafik yang bertugas. Selain itu penyokong parti yang bertanding supaya datang awal ke pusat penamaan calon," katanya.

Beliau berkata penyokong Barisan Nasional (BN) dinasihatkan menggunakan Jalan Mengkuang untuk ke pusat penamaan calon kerana mereka akan berada di sebelah kiri IKBN manakala penyokong PKR diminta mengunakan Jalan Berapit bagi mengelak bertembung dengan pihak BN.

Azmi berkata hanya calon, pencadang dan penyokong calon untuk parti yang bertanding sahaja dibenarkan masuk ke perkarangan IKBN Bukit Mertajam bagi proses penamaan calon.

"Polis telah menetapkan kawasan bagi setiap penyokong parti yang hadir dan jarak antara mereka adalah 300m bagi mengelak sebarang kemungkinan jika berlaku provokasi antara mereka. Polis juga menyediakan lokasi untuk penyokong  calon Bebas tetapi saya percaya mungkin tidak banyak (penyokong calon bebas)," katanya.

Beliau berkata 300 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang proses penamaan calon berkenaan.

"Penunggang motosikal yang mahu ke pusat penamaan calon juga dinasihatkan tidak membawa bendera parti atau apa sahaja bendera bagi mengelak gangguan di jalan raya sehingga boleh menyebabkan kemalangan. Mereka yang ingkar akan  dikenakan tindakan saman oleh polis," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: