Shahidan Kassim



KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia akan menyalurkan bantuan makanan untuk mangsa bencana gempa bumi yang melanda Nepal Sabtu lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada Kabinet dalam masa terdekat memandangkan jumlah mangsa semakin meningkat dan pelbagai bantuan diperlukan terutamanya makanan.

"Saya akan maklumkan perkara ini kepada Kabinet secepat mungkin. Kita dimaklumkan mangsa yang terkorban juga meningkat," katanya kepada Bernama di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Shahidan berkata, arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia yang terkandas di kawasan terjejas teruk akan diberi keutamaan.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menggerakkan operasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas setelah menerima arahan daripada Perdana Menteri, semalam. 

Antara pasukan yang menyertai misi itu ialah Smart Team daripada MKN, Persatuan Bulan Sabit Merah dan beberapa anggota Mercy Malaysia.

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia). Beberapa kejadian gempa susulan turut berlaku.

Tragedi gempa bumi paling teruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun itu setakat ini mencatatkan 3,218 kematian dan lebih 6,500 orang cedera. – Bernama