Selasa, 7 April 2015

Makanan pelajar dikurangkan untuk jimat

MALAYSIAKINI


 


Pelajar di sebuah sekolah menengah agama yang berasrama penuh di Johor telah dikurangkan makanan ekoran langkah penjimatan oleh pembekal makanan di sekolah itu.

Para pelajar di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor yang terletak di Kluang mengalami kekurangan makanan sehingga 170 gram setiap hari berikutan makanan yang disajikan tidak sama seperti di bahagian menu, lapor Laporan Ketua Audit Negara 2014.

170 gram makanan bersamaan dengan sebuah burger keju.

"Sebanyak 24 jenis makanan tengah hari dan malam bagi setiap bulan telah dikurangkan daripada dua hidangan berat kepada satu hidangan berat dengan harga kontrak yang sama," kata laporan itu.

Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam jawapan kepada Ketua Audit Negara berkata, menu dikurangkan kerana hidangan asal terlalu mahal.

Selain itu, audit lain yang dilakukan terhadap sebuah lagi sekolah agama berasrama, Maahad Johor juga mendapati perkara sama berlaku di mana satu hidangan tidak disajikan kepada pelajar semasa sesi makan tengah hari dan malam.


Tiada ulasan: