Lima Adun Pas bebas Laporan Sinar Harian semalam.
 
 
 
IPOH - Pas Perak tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap lima wakil rakyat parti itu yang tidak mengenakan pakaian istiadat pada pembukaan Persidangan Dewan Negeri, 31 Mac lalu.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, perkara itu jelas selepas pihaknya mendapati pakaian serba hitam yang dipakai ke semua wakil rakyat terbabit tidak melanggar sebarang kod etika  berpakaian ketika menghadiri Persidangan Dewan Negeri.

“Tiada sebarang peruntukan dalam kod etika berpakaian yang menyatakan memakai baju Melayu serba hitam adalah salah dan melanggar peraturan dewan.

“Ingin saya tegaskan, pakaian hitam yang dipakai kelima-lima mereka itu juga telah dipersetujui ketika mesyuarat antara Adun PR sebelum ini,” katanya.

Razman berkata,  isu pakaian itu dipercayai sengaja diperbesarkan BN bagi mengalihkan perhatian terhadap kelemahan urus tadbir di Perak.

“Selain itu, sekiranya Sultan Perak murka, mengapa sehingga ke hari ini (semalam) tiada sebarang kenyataan terbuka dibuat oleh pihak istana tentang hal tersebut?,” katanya.

Disoal tentang penolakan dari sudut kepimpinan oleh Dewan Ulama Pas Perak terhadap Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, Razman berkata, beliau telah mengesyorkan kedua-dua pihak bersemuka bagi menyelesaikan kemelut itu.

“Perkara ini juga telah saya maklumkan kepada Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, perkara itu  perlu diselesaikan secepat mungkin demi kelangsungan parti.

“Itu yang sebaiknya dan diperlukan untuk mengukuhkan parti dan Pas Perak sendiri,” katanya.