Azmin Noh Omar
 
 
 
SHAH ALAM - Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menggesa Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali meletak jawatan jika tidak mampu menyelesaikan isu air negeri ini.

Menurut Noh, Azmin sekadar mahu tunjuk pandai apabila cuba menghilangkan legasi yang ditinggalkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkenaan isu penstrukturan air.

"Abdul Khalid lebih lama memimpin Selangor. Azmin tidak sampai lagi setahun jadi menteri besar sudah cuba mahu buat perubahan yang selama ini diusahakan oleh Abdul Khalid.

"Saya berani kata, jika Azmin tidak mahu teruskan MoU dengan kerajaan Persekutuan, ini bermakna menteri besar mahu menghancurkan negeri Selangor sendiri.

"Saya ingin beri amaran, jika tidak mampu selesaikan, eloklah letak jawatan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Umno Selangor, hari ini.

Minggu lalu, Abdul Khalid mengkritik Azmin dan meminta menteri besar itu melepaskan jawatan kerana hingga kini masih belum memuktamadkan perjanjian air negeri ini.

Dalam pada itu turut mengulas berkenaan jawatan Pemangku Pengerusi PAC yang diserahkan kepada Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, Timbalan Pengerusi Umno, Nadzari Ahmad Dahlan berkata, perkara itu masih lagi dikaji sama ada mengikut peraturan atau tidak.

"Kita masih lagi kaji. Sebenarnya memang ada seksyen dalam peraturan kerajaan negeri yang diperuntukkan untuk jawatan itu (pemangku), tetapi kita perlu kaji dahulu," katanya.