Isnin, 27 April 2015

Konsert Thirst 2015: Polis digesa profesional, kemuka Adun mana yang bantah

ean yong

Roketkini.com


SHAH ALAM: ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah menafikan sekerasnya dakwaan pihak polis bahawa kononnya pejabat beliau telah mengemukakan bantahan terhadap konsert ‘Thirst 2015: We are all Stardust’.

Menurut beliau, dakwaan yang dibuat oleh Ketua Polis Daerah Serdang Tuan Razimi Ahmad dalam satu kenyataan sama sekali tidak betul dan tidak berasas.

“Kenyataan daripada Ketua Polis Daerah Serdang bahawa ‘Pejabat Ahli Undangan Negeri berkenaan’ telah mengemukakan bantahan terhadap program ‘Thirst 2015: We are all Stardust concert’ adalah tidak betul dan merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Razimi semalam mendakwa bahawa pihak polis telah membuat ulasan untuk tidak menyokong setelah menerima bantahan dan maklumat pada 23 April daripada masyarakat serta ‘Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan’ mengenai penganjuran konsert tersebut.

Namun kata Ean, beliau dan Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming langsung tidak menyatakan sebarang halangan terhadap konsert itu yang dijadualkan berlangsung di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC).

Ean yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor menegaskan, kelulusan permit telah pun dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya pada 21 April lalu tapi pihak penganjur terpaksa membatalkan program kerana pihak polis menarik balik sokongan di saat akhir pada 24 April sedangkan konsert sepatutnya berlangsung pada 26 April.

“Saya tidak nampak ada satu penjelasan dan justifikasi yang kukuh mengapa polis tukar fikiran mereka pada saat akhir terhadap satu program antarabangsa, 3000 keping tiket telah pun dijual dan melibatkan jumlah pelaburan besar.

“Saya meminta pihak polis supaya mengemukakan dokumen yang berkaitan untuk membuktikan mana satu pejabat ADUN yang membantah tentang konsert tersebut,” tegas beliau. – Roketkini.com


Tiada ulasan: