Rabu, 8 April 2015

Kita Lawan mahu pacak papan tanda di Dataran

MALAYSIA KINI


 


Kumpulan aktivis anak muda Kita Lawan akan melancarkan dan 'mewartakan' tapak duduk bantah tindakan ketua polis negara dekat Dataran Merdeka baru-baru ini sebagai "Dataran Kita Lawan", malam ini.

Mereka juga akan meletakkan papan tanda sebagai simbolik bahawa anak muda mempunyai hak untuk bersuara secara terbuka susulan cadangan kerajaan mahu meminda Akta Hasutan.

"Satu papan tanda ‘Dataran #KitaLawan’ akan didirikan sebagai simbolik bahawa anak muda mempunyai hak untuk bersuara secara terbuka.

"Ini juga sebagai janji kami dan peringatan kepada pemerintah bahawa ugutan dan hukuman tidak mampu menyekat kemaraan anak muda," katanya sekretariat kumpulan itu.

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu juga akan mengadakan 'malam setiakawan' terhadap 13 aktivis yang dipenjara kerana membantah 'rampasan kuasa' di Perak pada 2009.

Mereka akan mengadakan majlis bacaan puisi dan kutipan derma sebagai memperingati dan membantu keluarga aktivis yang terlibat.

Mengulas lanjut, sekretariat itu menganggap tindakan meminda Akta Hasutan sebagai menyekat kebebasan dan kelantangan anak muda untuk bersuara termasuk turun ke jalan raya, bagi menuntut ketelusan kerajaan.

"Kami akan terus memberi tekanan dan mencabar sekatan-sekatan yang hendak dikenakan terhadap anak muda.

“Jika salah seorang daripada kami dihukum, ini hanya memberi inspirasi kepada yang lain untuk bangkit dan teruskan perlawanan ini.

Gerakan Kita Lawan muncul susulan pemenjaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Fabruari lalu.

Mereka menganjur beberapa siri demonstrasi membantah tindakan tersebut dan turut membangkitkan isu melibatkan kepentingan awam. 


Tiada ulasan: