Khamis, 16 April 2015

Khairy gagal jaga kepentingan belia, kata #KitaLawan

 OLEH MELATI A JALIL


Anggota seketariat #KitaLawan Akmal Nasir bercakap di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 15 April, 2015.Anggota seketariat #KitaLawan Akmal Nasir bercakap di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal. 



Pergerakan #KitaLawan mendakwa Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda Umno, gagal memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat sebaliknya lebih mementingkan karier politiknya.

Anggota seketariat #KitaLawan Akmal Nasir berkata Khairy langsung tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak pelaksanaannya pada 1 April, terutamanya dari segi kesannya ke atas belia, termasuk aktiviti sukan mereka.

"Beliau seharusnya berjuang untuk isu anak muda, apabila anak muda menghadapi masalah dengan GST, tetapi beliau lebih berminat dengan karier politik peribadinya," kata Akmal hari ini.


Bercakap pada satu sidang media, beliau berkata Khairy gagal menjalankan tugasnya sebagai menteri kerana tertekan untuk menyelamatkan karier politiknya dengan mengikut arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Sehubungan itu, Akmal berkata #KitaLawan akan menganjurkan sekali lagi protes di ibu negara pada Sabtu ini, tetapi kali ini dengan berbasikal, bagi menyatakan bantahan terhadap GST yang dikenakan terhadap peralatan sukan.

Beliau berkata, protes yang digelar 'Critical Mass Kuala Lumpur' itu akan diadakan di Dataran Merdeka bermula jam 4 petang, dan menggesa rakyat Malaysia menyertainya bagi menuntut GST atas barangan dan aktiviti berkaitan sukan dimansuhkan.

'Critical Mass' ialah acara berbasikal yang berasal dari Eropah dan disifatkan sebagai merupakan protes menunggang basikal secara bulanan dengan ribuan peserta berarak memenuhi jalan raya dengan berbasikal.

"Idea atau inspirasi menggunakan basikal ini dipengaruhi kumpulan protes di seluruh dunia.

"'Critical mass' di Eropah mempunyai konotasi tertentu, namun bagi kami, Sabtu ini, fokus kami ialah terhadap pemansuhan GST bagi barangan dan aktiviti berkaitan sukan," kata Akmal.

"GST memberi kesan mendalam kepada anak muda, dan #KitaLawan didekati pelbagai kumpulan anak muda yang terlibat secara aktif dalam sukan supaya berjuang untuk mereka," katanya.

Akmal juga turut menolak dakwaan Khairy yang mengatakan sokongan kepada #KitaLawan semakin kecil berbanding demonstrasi "Reformasi" pada 1998, dan berkata menteri itu harus menanti dan melihat respon rakyat pada 1 Mei depan.

"Rakyat mengharapkan pemimpin yang mampu berjuang untuk mereka, bukan memperkecilkan usaha perjuangan mereka," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Pulai Tan Kar Hing berkata, pemimpin Umno yang membangkitkan berkenaan isu #KitaLawan menunjukkan mereka gentar dengan pergerakan itu.

"Ini adalah tanda Khairy dan kerajaan BN takut dengan #KitaLawan...ini bukan program 'one-off', ini pergerakan yang konsisten.

"Anak muda harus menunjukkan kuasa mereka pada 1 Mei dan dalam program minggu ini," katanya.

Sementara Naib Presiden PKR Chua Tian Chang pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya berkata, pergerakan #KitaLawan berbeza daripada zaman Reformasi kerana ia membabitkan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama, dan protes itu semakin mendapat perhatian.

"#KitaLawan adalah perjuangan tanpa mengira kaum, diserta pelbagai lapisan masyarakat... ini perjuangan yang berterusan," katanya.

Sekretariat #KitaLawan (dari kiri) Fakrol Razi,Akmal Nasir and Sidiqin Omar dengan basikal BMX mereka, memegang poster Critical Mass berdekatan Dataran Merdeka hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 15 April, 2015.Sekretariat #KitaLawan (dari kiri) Fakrol Razi,Akmal Nasir and Sidiqin Omar dengan basikal BMX mereka, memegang poster Critical Mass berdekatan Dataran Merdeka hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 

Tiada ulasan: