Kesal soalan GST ditolak  
Loke dan Adun Nilai, J. Arul Kumar pada sidang media di Pejabat Adun Lobak.


SEREMBAN - Tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mengenakan caj GST terhadap semua perkhidmatannya dipersoalkan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke.

Lebih mengecewakan beliau, usaha untuk mendapat penjelasan tidak berhasil apabila soalan berhubung perkara itu ditolak Speaker Dun untuk dibentang pada Sidang Dun Negeri Sembilan, minggu depan.

Anthony yang juga ketua pembangkang Dun negeri berkata, soalannya itu ditolak kerana pelaksanaan GST dikatakan bukan di bawah kuasa kerajaan negeri, sebaliknya kerajaan persekutuan.

“Saya telah melakukan kajian dan mendapati banyak perkhidmatan PBT dikenakan GST termasuk khidmat sewa khemah, gerai, kenderaan, parkir dan banyak lagi.

“Jadi, soalan tentang GST untuk maklumat rakyat kerana masih ramai tidak jelas dan keliru tentang pelaksanaan GST yang turut dikenakan kepada perkhidmatan PBT,” katanya.

Menurutnya, kerajaan seharusnya bersikap telus dalam memberikan maklumat kepada rakyat tentang pelaksanaan cukai baharu itu.

“Bukan barang sahaja dikenakan GST tetapi perkhidmatan PBT turut kena. Jadi rakyat perlu tahu supaya tiada kekeliruan dalam hal ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Adun Lobak, di sini, semalam.

Anthony bagaimanapun menyambut baik tindakan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang difahamkan akan menyerap kos GST terhadap semua perkhidmatannya kepada orang ramai.

“Saya terima baik kenyataan Yang Dipertua MPS, Datuk Abd Halim Abd Latiff yang memberitahu MPS akan menyerap GST ini. Ia amatlah baik untuk rakyat.

“Saya mohon kerajaan negeri dapat seragamkan dasar dengan mengarahkan semua PBT untuk menyerap GST terhadap perkhidmatannya di semua majlis perbandaran dan daerah lain,” katanya.