Kereta rempuh dinding rumah, pemandu maut Keadaan kereta mangsa yang merempuh dinding rumah kedai yang masih dalam pembinaan.
 
 
 
BACHOK - Seorang lelaki maut dalam kemalangan yang berlaku di Kampung Padang Bual dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Hamid Che Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika mangsa, Azhar Mat Husin, 38, dari Kampung Aman, Kandis dalam perjalanan dari Beris Kubur Besar menghala ke Tanjung Hilir.

"Mangsa yang memandu kereta dipercayai terbabas ketika tiba di Kampung Padang Bual dan merempuh sebuah rumah kedai yang terletak di kanan jalan.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan di bawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Manakala, saksi kejadian, Mohd Shah Adam Harun, 17, berkata, malam sebelum kejadian dia tidak dapat tidur dan sedang mendengar radio.

“Tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat yang pelik dari luar. Kerana terkejut saya turun dari katil dan bersembunyi dalam kereta wira yang berada berdekatan.

“Kemudian saya dengar sebuah kereta merempuh tempat tidur saya dan menyebabkan sebahagian besar dinding kedai runtuh. Saya tidak berani dekati mangsa kerana terkejut dan penduduk kampung yang datang melihat memaklumkan mangsa meninggal dunia 10 minit kemudian,” katanya yang juga pekerja rumah kedai yang masih dalam pembinaan itu.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Bachok, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.45 pagi.

“Pegawai bertugas ialah Mohd Rozi Ismail mengetuai operasi itu bersama tujuh anggota untuk mengeluarkan mangsa dari kereta Proton Saga yang melanggar dinding sebuah rumah.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya.