Rabu, 22 April 2015

Kerajaan Johor perlu arah henti aktiviti kuari dan pembalakan di Gunung Pulai

tnc-gunung-pulai
Gambar: Setiausaha politik MB Johor Mohammad Khairi Malek menerima memorandum bantahan dari MP Kulai, Teo Nie Ching dan ADUN Pekan Nenas, Yeo Tung Siong di Kota Iskandar pagi ini.

Roketkini.com


NUSAJAYA: Kerajaan Johor perlu mengeluarkan arahan menghentikan semua aktiviti kuari dan pembalakan di Gunung Pulai, Johor supaya khazanah berharga itu dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, aktiviti pembalakan yang berlaku di Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Pulai mendapat reaksi negatif daripada penduduk sekitar Kulai, Pekan Nenas dan juga kumpulan pencinta alam sekitar.

Ujarnya, berdasarkan jawapan di parlimen, HSK (Perlindungan) Johor hanya meliputi 2106.64 km persegi, atau 10 peratus sahaja daripada keseluruhan keluasan Johor.

Berbanding Selangor, kerajaan negeri telah menggazetkan sebanyak 1775.83 km persegi atau 22 peratus daripada keseluruhan 8,104 km persegi daripada keseluruhan keluasan negeri itu sebagai Hutan Perlindungan.

Difahamkan, kerajaan Johor telah membekukan sebarang aktiviti pembalakan di semua HSK (pengeluaran) di seluruh negeri sejak bulan Jun tahun lalu.

“Tetapi hasil pemerhatian yang dilakukan di Gunung Pulai mendapati satu projek pembalakan telah dilesenkan dan dijalankan sejak 1 Disember 2014 hingga 31 Mei 2015.

“Perkara ini perlu disiasat secepat mungkin,” kata N ie Ching dalam satu kenyataan.

Justeru itu, satu memorandum bantahan diserahkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pagi ini melalui setiausaha politiknya Mohammad Khairi Malek, bagi menggesa kerja-kerja pembalakan dan kuari dihentikan segera.

Hadir sama ADUN Pekan Nenas, Yeo Tung Siong.

Tambah Nie Ching, meskipun sumber pendapatan Johor dan Selangor hampir sama dan tiada keperluan tinggi untuk aktiviti pembalakan, ironinya peratusan HSK (Pengeluaran) Johor jauh lebih banyak daripada Selangor.

Menurut Nie Ching peratusan HSK (Pengeluaran) di Johor adalah sebanyak 2232.96 km persegi, atau 50 peratus daripada 4448.4 km persegi keseluruhan HSK di negeri ini.

Manakala peratusan HSK (Pengeluaran) Selangor hanya 725.46 km persegi, atau 25 peratus daripada 2812.24 km persegi keseluruhan HSK.

“Menteri Besar perlu mengambil berat tentang penjagaan alam sekitar. Bagi membuktikan keseriusan kerajaan negeri Johor, aktiviti kuari dan pembalakan di Gunung Pulai perlu dihentikan segera.

“Saya menggesa agar kerajaan Johor memperbanyakkan lagi HSK (Perlindungan) supaya khazanah yang berharga ini dapat dipelihara untuk generasi akan datang,” tegas Nie Ching – Roketkini.com


Tiada ulasan: