Khamis, 16 April 2015

Kenapa Rompin Mengundi Dulu Berbanding Permatang Pauh?

shahbudindotcom


Berbanding di Rompin, pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh dilihat amat penting dan bakal menentukan perjalanan seterusnya fasa politik negara, terutama yang melibatkan masa depan Najib.

Pentingnya Permatang Pauh kepada Najib, UMNO dan BN sehingga SPR sendiri menentukan hari pengundiannya ialah pada 7 Mei iaitu dua hari selepas pengundian di Rompin pada  5 Mei.

Keadaan ini terlihat pelik kerana pewartaan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebenarnya ialah pada 16 Mac apabila Lembaga Pengampunan menolak petisyen yang dikemukakan oleh keluarga Anwar Ibrahim pada 24 Februari lalu sedangkan nahas helikopter yang menyebabkan kematian Ahli Parlimen Rompin, Jamaluddin Jarjis ialah pada 4 April.

Secara logik, berdasarkan hukum akal, mengikut tertib dan kebiasaan, tentulah pilihanraya kecil Permatang Pauh sepatutnya diadakan terlebih dahulu berbanding Rompin.

Lebih-lebih lagi SPR juga mengadakan mesyuarat untuk menentukan tarikh pilihanraya Permatang Pauh adalah pada 8 April manakala mesyuarat untuk menentukan tarikh Rompin pula ialah pada 10 April.

Setidak-tidaknya boleh juga diadakan tarikh penamaan calon dan pengundian secara serentak di kedua-dua kawasan itu.

Tetapi dalam mesyuarat 8 April itu, SPR menentukan hari pengundian di Permatang Pauh pada 7 Mei dan kemudian pada mesyuarat 10 April pula, SPR memilih tarikh pengundian untuk Rompin ialah pada 5 Mei.

Walaupun SPR memberi alasan pengundian di Rompin tidak dapat diadakan serentak dengan Permatang Pauh pada 7 Mei kerana hari tersebut merupakan Hari Hol yang merupakan cuti umum bagi negeri Pahang, persoalan yang timbul ialah kenapa tarikh lebih awal yang dipilih dan bukannya tarikh selepas 7 Mei? Kenapa pengundian di Rompin tidak diadakan pada 9 atau 10 Mei?

Ternampak sedikit pelik dan ajaib di sini. Kenapa tarikh pengundian di Rompin diawalkan berbanding Permatang Pauh sedangkan pewartaan kekosongan kerusinya lebih kemudian dan mesyuarat SPR juga dua hari lebih lewat daripada itu? Apa muslihat tarikh awal itu?

Di sinilah sebenarnya pentingnya keputusan pilihanraya Permatang Pauh itu kepada percaturan masa depan Najib. UMNO dan BN secara umumnya sedar mereka tiada masalah untuk menang di Rompin kerana majoriti yang dimenangi oleh Jamaluddin Jarjis dalam pilihanraya lalu adalah 15,114 undi. Rompin juga kubu kuat BN dan pembangkang tiada kekuatan di situ.

Kemenangan di Rompin yang sudah boleh diramalkan itu dijangka akan digunakan  sebagai "psywar" atau perang saraf untuk mengajak pengundi Permatang Pauh agar turut sama memilih BN, kalau pun tidak memberikan kemenangan, sekurang-kurangnya ia diharapkan mampu mengurangkan majoriti kemenangan PKR di kerusi itu.

Selepas keputusan Rompin nanti, berduyun-duyunlah pemimpin UMNO bercakap memuji dan menyanjung kepimpinan Najib yang kononnya masih diperlukan dan diterima oleh pengundi.

Mungkin nampak mustahil untuk UMNO dan BN menang di Permatang Pauh berdasarkan isu-isu semasa seperti serangan Tun Mahathir kepada Najib, GST, simpati kepada Anwar dan sebagainya serta berdasarkan majoriti PKR 11,721 undi pada pilihanraya umum lalu tetapi dapat mengurangkan majoriti undi di kubu kuat PKR sudah memadai untuk menunjukkan Najib dan UMNO masih diterima baik oleh pengundi.

Dengan kejayaan mengekalkan kemenangan di Rompin, mungkin dengan majoriti lebih besar dan disertai pula kemampuan mengurangkan majoriti undi PKR di Permatang Pauh, ia juga akan digunakan sebagai "modal utama"  untuk menafikan dakwaan Tun Mahathir bahawa Najib semakin ditolak oleh rakyat pelbagai kaum dan lebih mungkin membawa BN kalah dalam pilihanraya akan datang.

Itulah sebab sebenarnya mengapa pengundian di Rompin perlu diadakan terlebih dahulu berbanding Permatang Pauh.

Sekiranya semua perancangan itu berjaya dilakukan, percayalah, selepas ini, Tun Mahathir  juga akan dibelasah dan dihentam cukup-cukup oleh pimpinan UMNO kerana dakwaannya sebelum ini bahawa BN akan kalah ternyata meleset dan tidak benar sama-sekali.

Serangan dan kecaman Tun Mahathir kepada Najib selama ini juga dianggap tidak bernilai lagi. Bahkan jika bekas Perdana Menteri itu mahu terus menekan Najib selepas itu, lebih mudah bagi UMNO untuk menangkis dan menjawabnya.

Dalam hal ini, jika PR ingin melihat serangan Tun Mahathir kepada Najib terus relevan dalam fasa-fasa berikutnya, mereka tiada pilihan selain memastikan calon PKR di Permatang Pauh bukan saja menang dengan jumlah undi yang tidak jauh berbeza dengan dahulu, tetapi lebih baik jika dengan majoriti lebih besar lagi. 


Tiada ulasan: