Jumaat, 17 April 2015

Keluarga tahanan kes rampasan kuasa Perak terima bantuan

Oleh: AFIX REDZUAN


SHAH ALAM: Keluarga mangsa yang dipenjara 10 bulan ekoran terlibat dalam perhimpunan membantah ‘rampasan kuasa’ Perak 2009 mendapat perhatian Kerajaan Selangor.

Exco Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad mengunjungi keluarga Bad Latif Mansor, yang diwakili isteri beliau, Nashita Md Noor.

11156314_1001953639823633_4114694150951503453_nIskandar hadir sambil ditemani Adun Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan menyerahkan sumbangan RM1,000 kepada keluarga Bad Latif.


Nashita ketika dihubungi terharu dengan keprihatinan Iskandar selaku wakil Kerajaan Selangor dan rombongan menziarahi keluarga sambil bertanya mengenai perkembangan semasa suami beliau.

“Kami merasa bertuah dan lega kerana nasib kami yang menjadi mangsa kezaliman Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memenjarakan suami kami mendapat perhatian dan pembelaan dari wakil pimpinan Selangor dan juga ramai yang lain lagi.

“Ini menambahkan kekuatan kami untuk terus tabah dan kuat dan menyambung perjuangan suami kami,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau turut memaklumkan rombongan Iskandar turut menziarahi keluarga Shidahtul Sabtu, isteri kepada Zulhaizam Zulkifli di Pandan Indah dan menyerah sumbangan sama.

Ketika ditanya mengenai perkembangan suaminya beliau memaklumkan mereka semua sihat dan masih kuat untuk meneruskan perjuangan.

Bad Latif bersama 11 yang lain dijatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan bermula 18 Mac lalu.
Beliau turut memaklumkan 10 dari 12 orang tahanan dipindahkan ke Penjara Tapah.

Sejak ditahan, beliau hanya berkesempatan menziarahi suami tercinta sebanyak dua kali.

“Insya Allah Ahad ini kami dibenarkan melawat suami. Penjara menetapkan keluarga boleh melawat mereka sebulan sekali,” katanya lagi.EZY


Tiada ulasan: