heli terbakar Lokasi nahas
 
 
 
KUALA LUMPUR - Siasatan polis berhubung kes helikopter terhempas di Semenyih pada 4 April lepas, turut menjurus kepada kedudukan kewangan juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier.
 
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, terdapat kemungkinan masalah kewangan yang dihadapi juruterbang berkenaan menjadi punca nahas sehingga mengorbankan kesemua penumpangnya.

"Kita akan melihat beberapa aspek terutama sekali aktiviti dia, hobi atau sama ada dia mempunyai sebarang masalah termasuk kewangan...perkara ini boleh menjejaskan prestasi dan fokus dalam kerjayanya," kata Noor Rashid.‎
  
Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan upacara sembahyang khas oleh anggota dan pegawai polis beragama Hindu, bersempena Peringatan Hari Polis ke-208, di Kuil Sri Kandaswamy, Brickfields, semalam.‎
  
Noor Rashid berkata, siasatan terhadap nahas helikopter itu terbahagi kepada dua iaitu polis akan melihat dari aspek sama ada wujudnya unsur kecuaian, sabotaj atau unsur lain.‎
 
Selain itu, polis juga akan melihat dari segi teknikal bagaimana helikopter itu terhempas sehingga mengakibatkan enam terkorban, katanya.
  
"Pemeriksaan forensik memerlukan masa...kita juga telah mengesan saksi termasuk mengambil keterangan daripada keluarga mangsa. 
 
"Kesemua mayat telah dituntut dan kita memerlukan laporan teknikal daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan perlu dianalisa semula," katanya.
 
Noor Rashid berkata, polis akan memanggil semula saksi bagi memberi keterangan baharu selepas menerima laporan teknikal tersebut.

Dalam kejadian tersebut, helikopter AS365N2 Dauphin (9M-IGB) yang membawa enam orang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.
  
Selain Fournier, turut terkorban ialah Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis; Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaluddin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. - Bernama