Rabu, 15 April 2015

Jika Sedia Bertanding Timb Presiden, Mengapa Tidak Untuk Parlimen Rompin?

KELAB GREENBOC



 

PAS akar umbi mahu Tuan Ibrahim calon Rompin, kata akhbar

Ahli PAS di peringkat akar umbi menyifatkan Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man calon paling layak memberi saingan hebat kepada Umno dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Rompin, lapor Sinar Harian.

Ahli PAS Muadzam Shah Sofet Abdul Halim berkata, bagi PRK Rompin yang dijadualkan 5 Mei ini, akar umbi parti Islam itu tidak melihat soal pemilihan calon yang mengutamakan anak tempatan.

Namun, katanya, keputusan PRK itu nanti bergantung kepada kekuatan calon tersebut.

"Calon paling tepat Tuan Ibrahim," katanya merujuk naib presiden PAS itu.

"Jika tidak boleh, biar pemimpin pusat yang bertanding, seperti Salahuddin Ayub atau Dr Mohd Hatta Ramli.

"Kalau hendak berlawan bertinju biarlah berlawan dengan orang yang mahir bertinju, jika tidak siap sedia usung keluar gelanggang sahaja," beliau dipetik berkata akhbar itu.

Sementara itu yang dipertua PAS Rompin Nazri Ahma‎d berkata, sebelum Januari lalu, kepimpinan kawasan memberi 2 nama kepada PAS negeri sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, 2 nama berkenaan membabitkan tokoh yang dikenali masyarakat setempat.

"Kemungkinan ia (nama calon) akan bertambah atau berkurang setelah diteliti kepimpinan negeri sebelum dibawa ke pusat," katanya.

Nazri pada masa sama menolak khabar angin mengatakan ‎beliau akan menjadi calon walaupun ada yang mencadangkan namanya, mengatakan beliau belum bersedia dan mahukan calon yang kuat membolehkan PAS beroleh kemenangan.

Beliau percaya terdapat beberapa isu nasional yang bakal mempengaruhi undi yang boleh memberi kelebihan kepada ‎PAS.

Antaranya, beliau berkata, membabitkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan isu kenaikan harga barang.

"Saya harap masyarakat tidak terbuai atau terleka sebaliknya memberi undi kepada PAS sebagai simbolik membantah isu yang membebankan rakyat.

"Populasi penduduk tanah rancangan Felda juga agak besar di sini yang melibatkan 17 kawasan kesemuanya. Isu kejatuhan saham FGV dan harga sawit rendah turut boleh mempengaruhi undi para peneroka," katanya.

Manakala, Jawatankuasa PAS Pusat yang bermesyuarat semalam memutuskan akan mengumumkan calon mereka pada 20 April ini.

Menurut Sinar Harian, mesyuarat tersebut memutuskan Tuan Ibrahim sebagai pengarah jawatankuasa parti bagi PRK tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS memutuskan bertanding di Parlimen Rompin kerana ia merupakan kerusi tradisi parti Islam itu.

Selain itu katanya, PAS juga bersetuju membantu calon PKR dalam PRK Permatang Pauh walau siapa pun yang akan dinamakan.

"Kita juga akan meletakkan jentera bagi membantu PKR di PRK Permatang Pauh diketuai Timbalan Presiden Mohamad Sabu," katanya. –TMI

ULASAN GB

Tuan Ibrahim perlu menunjukkan kejantanannya untuk bertanding di Parlimen Rompin.

Beliau sudah mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS untuk melawan Mohamad Sabu semenjak belum mendapat sebarang pencalonan lagi.

Dan hasil dari kerja-kerja golongan pro-UG yang berjaya mencalarkan imej-imej kumpulan progresif dalam PAS, kini beliau telah memperolehi pencalonan terbanyak untuk jawatan Timbalan Presiden PAS. Maka berjalanlah hukum kebenaran dan keadilan, justeru, Allah membuka ruang untuk beliau betul-betul tunjukkan keberanian dan kejantanan dengan kekosongan sebuah kerusi parlimen di Pahang iaitu di Rompin.

TITM sewajarnya menggunakan ruang itu untuk membuktikan bahawa beliau bukan sahaja pemimpin parti tetapi pemimpin untuk semua - sekurang-kurangnya untuk masyarakat Rompin, sebuah parlimen di negeri yang beliau menjadi Pesuruhjayanya.

Apakah TITM dan sekalian yang bergelar ulama hanya mahu bertanding di kerusi-kerusi yang selamat?

Jangan nanti ditempelak orang hanya bertaring di gelanggang sendiri tetapi bacul dan menggelupor di tengah padang....


Tiada ulasan: