Jumaat, 10 April 2015

Jawapan Tak Memuaskan, Perlu Diadakan Forum Khas "Live" Antara Mahathir Dan Najib

shahbudindotcom


Semua orang mempunyai harapan yang tinggi terhadap temubual Najib Razak melalui televisyen malam tadi yang sejak awal dikatakan akan menjawab segala kritikan terhadapnya, terutama daripada Tun Mahathir Mohamad.

Ramai mengimpikan dapat tidur lena selepas mendengar penjelasannya itu memandangkan Perdana Menteri sudah berdiam diri terlalu lama tanpa jawapan terhadap kritikan yang dilemparkan terhadapnya.

Namun, semuanya hampa dan terus membuatkan lebih banyak tanda tanya bermain-main ramai orang.

Hanya beberapa saat selepas program itu bermula, sudah ramai yang mula kecewa apabila mendapati ianya bukanlah program secara langsung, sebaliknya adalah rakaman saja.

Ramai yang hilang "stim"  kerana rata-rata mengharapkan ianya program siaran langsung yang boleh menampakkan kewibawaan dan ketelusan Perdana Menteri dalam memberikan jawapannya.

Meniti satu demi satu penjelasan yang diberikan oleh Najib kemudiannya pula,  lebih ramai yang kecewa kerana Perdana Menteri sebenarnya tidak menjawab kritikan atau persoalan yang ditujukan terhadapnya, khususnya oleh Tun Mahathir.

Semalam Tun Mahathir melahirkan kehairanan kerana Najib tidak memberikan jawapan sedangkan hanya soalan mudah yang ditujukan kepadanya.

Antara soalan mudah itu ialah ke mana hilangnya wang 1MDB sehingga hutangnya mencanak-canak setinggi RM42 bilion hanya dalam tempoh enam tahun?

Berkenaan pembunuhan Altantuya pula, pertanyaan Tun Mahathir juga mudah iaitu siapa yang mengarahkan anggota polis berpangkat rendah itu melakukan pembunuhan?

Tetapi dalam temubual itu, Najib seolah-olah berselindung di sebalik audit yang sedang dijalankan terhadap 1MDB untuk memberikan jawapan secara berani dan berterus-terang berkenaan pelbagai isu melibatkan syarikat pelaburan strategik yang tidak strategik itu.

Jawapannya berkenaan wang yang disimpan di Pulau Cayman juga berbeza dengan pelbagai laporan sebelum ini. Sebelum ini tidak dinafikan wang itu disimpan di sana, tetapi malam tadi Najib mengatakan pulau itu hanya tempat pendaftaran saja.

Persoalan mengenai Jho Low dan kekayaan peribadi keluarganya juga tidak dijawab Najib walaupun penjelasan sebetulnya boleh diberi tanpa menunggu audit dijalankan.

Berkenaan isu Altantuya, Najib memberikan jawapan dengan mengulangi sumpah yang telah dilakukannya sebelum ini bahawa beliau tidak mengenali gadis Mongolia itu sedangkan bukan itu yang dipersoalkan oleh Tun Mahathir.

Isu Altantuya bukanlah tentang Najib kenal atau tidak, pernah berjumpa atau sebaliknya tetapi lebih untuk menuntut keadilan bagi kedua-kedua anggota polis, Sirul dan Azilah iaitu siapakah yang memberikan arahan kepada mereka.

Secara keseluruhannya, ramai yang kecewa dan tidak puas hati dengan jawapan Najib malam tadi. Beliau tidak menjawab keseluruhan isu yang dibangkit dan ditujukan terhadapnya. Bukan saja tiada yang lena tidurnya dengan jawapan Najib itu, bahkan ramai yang akan terus berjaga untuk membahaskannya lagi sama ada di kedai-kedai kopi, melalui media sosial dan sebagainya.

Dengan ini, adalah penting sebenarnya agar diadakan sebuah majlis forum secara langsung antara Tun Mahathir dengan Najib sebagai jalan penyelesaiannya. 

Program itu boleh diadakan sama ada di studio televisyen yang dipancarkan ke seluruh negara atau di Dewan Merdeka, PWTC dengan dihadiri oleh ahli dan pemimpin UMNO, tetapi dalam masa yang sama juga disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Berdasarkan jawapan Najib malam tadi, kesimpulannya mudah saja. Jika rata-rata rakyat dan penonton tidak puas hati, sudah tentu Tun Mahathir lebih tidak puas hati dengan jawapan itu. Mempertemukan mereka di pentas yang sama tentu mampu merungkai banyak jawapan dan  menggembirakan sesiapa saja yang dahagakan jawapan. Mereka juga boleh bersoal jawab jika tidak puas hati dengan sesuatu jawapan dan rakyat boleh menilainya dari situ.

Lebih-lebih lagi yang mungkin menyebabkan Tun Mahathir tidak puas hati ialah apabila Najib mengaitkan pembinaan Jambatan Bengkok dan BR1M dengan semua isu yang berlaku sekarang.

Ini pasti mengundang serangan balas daripada bekas Perdana Menteri itu.

Hanya dengan menampilkan Tun Mahathir dan Najib secara langsung dan dapat ditonton oleh semua rakyat saja, merupakan jawapan sebenar kepada kemelut kedua-dua pemimpin ini. 
 
 

Tiada ulasan: