Sabtu, 18 April 2015

Hishammuddin : Malaysia Iktiraf Kerajaan Yaman pimpinan Mansour Hadi

RAKYATNEWS




RIYADH - Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan Malaysia mengiktiraf kerajaan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi di Yaman dan menyokong usaha masyarakat antarabangsa dalam mengekalkan perpaduan dan kebebasan di negara Arab itu.

Menurut laporan agensi berita Arab Saudi (WAS), Hishammuddin berkata demikian semasa menemui Timbalan Perdana Menteri II Arab Saudi Putera Mohammed Nayef Abdul Aziz di Riyadh pada Khamis.

Putera Mohammed Nayef juga merupakan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi dan Timbalan Putera Mahkota.

“Malaysia menyokong semua tindakan kerajaan Arab Saudi dalam melindungi sempadannya serta menjaga keselamatan dan kedaulatannya,” katanya merujuk kepada langkah ketenteraan yang diambil kerajaan Arab Saudi terhadap puak Houthi di Yaman.

Beliau juga menggesa semua pihak di Yaman mematuhi Resolusi 2216 Majlis Keselamatan PBB yang mendesak puak Houthi supaya menghentikan keganasan dan berundur dari wilayah yang didudukinya selain meletakkan senjata.

Hishammuddin turut menekankan tentang perlunya melengkapkan proses politik di Yaman berdasarkan inisiatif negara-negara Teluk.

Hishammudin yang berada di Arab Saudi sejak Rabu turut berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana membantu mengeluarkan rakyat Malaysia dari Yaman.

Pada sesi lawatan kerja bermula Rabu lalu, Hishammuddin turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Arab Saudi Putera Mohamad Salman Abdul Aziz.


Tiada ulasan: