Selasa, 7 April 2015

Henti manipulasi isu KIDEX, BN Selangor disaran tumpu projek Lebuhraya Pantai Barat

lau weng san

Roketkini.com


PETALING JAYA: ADUN BN Selangor disaran memberi tumpuan kepada penambahbaikan pengangkutan awam dan pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE), dari sibuk memanipulasi isu Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX).

ADUN Kampung Tunku Lau Weng San berkata, beliau terkejut apabila ADUN BN Permatang, Sulaiman Abdul Razak membawa usul menggesa kerajaan negeri berkerjasama dengan Pusat untuk menerima projek KIDEX.

“Adalah mengejutkan apabila ADUN BN dari kawasan pesisiran pantai itu membentangkan usul menyokong KIDEX di Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Sedangkan yang diperlukan di Selangor adalah sistem pengangkutan awam berkesan di kawasan bandar, luar bandar dan lebuh raya di kawasan luar bandar,” kata Weng San dalam satu kenyataan.

Ujarnya, ketiga perkara tersebut perlu diberi tumpuan, terutamanya kawasan di pantai barat Selangor yang memiliki lebih separuh daripada 12 ADUN UMNO.

Berbanding KIDEX, rakyat Selangor tidak membantah pembinaan lebuhraya lain seperti Lebuhraya Kuala Selangor (LATAR) dan WCE.

“Kami percaya LATAR dan WCE mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping mengembangkan aktiviti pelancongan dan ekonomi,” jelas Weng San.

Sedangkan, KIDEX dibatalkan kerana syarikat konsesi tidak telus menjalankan projek dan gagal memenuhi pra-syarat ditetapkan.

Justeru itu, ADUN BN Selangor dan kerajaan Persekutuan seharusnya menumpukan perhatian kepada program transformasi, bukannya memainkan isu KIDEX bagi mendapat sokongan politik.

Weng San turut mengingatkan kerajaan Persekutuan tentang Program Transformasi Kerajaan, yang antara lain merancang untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam.

“Amat mengecewakan apabila kerajaan Persekutuan menandatangani perjanjian konsesi dengan KIDEX.

“Ia bukan sahaja pengkhianatan kepada rakyat, tetapi pengkhianatan kepada program tranformasi yang diuar-uarkan kerajaan sendiri,” tegasnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: