Rabu, 8 April 2015

'Hasrat berzuriat tergendala kerana GST'

MALAYSIAKINI


 


Perbelanjaan membesarkan anak lebih membebankan pasangan muda selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata anggota Parlimen Kulai.

Wakil rakyat muda 34 tahun itu mendakwa kerajaan tidak mengawal selia harga barang-barang keperluan untuk membesarkan anak-anak seperti susu dan lampin bayi.

“Walaupun susu formula sepatutnya berkadar sifar (GST) tetapi semua harga di pelbagai pasar raya naik.

“Menurut buku panduan, banyak barang sepatutnya lebih murah tetapi masalah besarnya apabila panduan ini tidak berguna langsung,” tambah ibu muda kepada dua orang anak itu.

Dalam keadaan sekarang ini, kata Teo, Malaysia sekarang mempunyai ramai pasangan muda yang terpaksa berdepan belanja mahal membesarkan anak-anak.

Bercakap di lobi Parlimen hari ini, Teo berkata panduan kerajaan menyebut bahawa harga barangan seperti susu tepung sepatutnya turun sekurang-kurangnya dua peratus.

Bagaimanapun, berdasarkan penelitiannya, ia sebaliknya naik kepada 7 hingga 15 peratus.

Susulan itu, katanya, ramai pasangan muda kini memilih tidak berzuriat lagi buat masa ini, termasuk dirinya sendiri.

“Pasangan muda memilih untuk tidak memiliki anak kerana mahu tumpukan kepada perkara lain seperti membeli rumah, kereta dan bergelut dengan kos hidup sehari-hari,” kata Teo,


Tiada ulasan: