Datuk Shabudin Yahaya Datuk Shabudin Yahaya
 
 
 
TASEK GELUGOR - Kira-kira 100 buah rumah di sekitar Pulau Pinang rosak, manakala puluhan pokok tumbang akibat hujan lebat dan ribut di negeri ini, petang semalam.
 
Kawasan yang paling teruk terjejas akibat kejadian selama dua jam bermula 6 petang itu, ialah di Parlimen Tasek Gelugor iaitu melibatkan sebanyak 42 buah rumah.
   
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, kebanyakan rumah mangsa mengalami kerosakan di bahagian bumbung akibat ditimpa pokok dan diterbangkan angin kencang.
    
"Saya telah melawat kawasan-kawasan yang dilanda ribut petang semalam dan penduduk yang ditimpa bencana berkenaan diberikan bantuan segera iaitu sejumlah wang tunai.
    
"Selain itu, laporan berhubung kejadian itu serta kerosakan rumah penduduk akan dihantar ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dalam masa terdekat untuk bantuan baik pulih kediaman mereka," katanya di sini hari ini.
    
Sementara itu, Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, sebanyak 30 buah rumah rosak akibat kejadian berkenaan di kawasan Parlimen Permatang Pauh.
    
Beliau yang melawat mangsa ribut dan menghulurkan bantuan segera berupa wang tunai, berkata pihaknya akan membantu penduduk yang terlibat akibat kejadian itu agar rumah mereka dapat dibaiki dengan segera.
    
Mangsa Rosnah Ahmad, 58, berkata ketika kejadian kira-kira 6.20 petang itu,  beliau bersama suami yang lumpuh Ahmad Razali, 64, serta dua cucu berusia tiga dan tujuh tahun, berada dalam rumah sebelum tiba-tiba hujan lebat serta angin kencang.
    
"Ketika itu mak cik berada di bilik dan mahu ke dapur untuk menyiapkan makanan untuk cucu...tiba-tiba dengar bunyi dentuman kuat, mak cik terus ke dapur dan lihat sebahagian bumbung rumah rosak akibat ditimpa pokok kelapa.
    
"Alhamdulillah, ia tidak kena pada mak cik. Selain bumbung, beberapa barangan turut rosak akibat kejadian itu dan air hujan masuk ke dalam rumah kami," katanya yang tinggal di Guar Perahu.
    
Di Kepala Batas, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebanyak 11 buah rumah di Permatang Kuang, dua buah di Lahar Tabut dan sebuah di Permatang Sintuk, rosak akibat kejadian ribut berkenaan.
 
Beliau berkata angin kencang menyebabkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin selain bekalan elektrik terputus.
    
"Kesemua 14 keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut itu dipindahkan sementara ke rumah saudara-mara dan jiran petang semalam, dan hari ini mereka telah kembali ke rumah untuk membersihkan kediaman masing-masing," katanya kepada pemberita, selepas melawat mangsa ribut tersebut.
    
Sebuah rumah di Kampung Kepala Batas, Teluk Ipil di Nibong Tebal dekat sini, turut rosak selepas bumbung rumah tersebut diterbangkan angin dalam kejadian hujan lebat dan ribut kencang itu. - Bernama