MALAYSIAKINI
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan membentangkan rang
undang-undang persendirian bagi membuka laluan ke arah pelaksanaan hudud
di Parlimen hari ini.
Rang undang-undang bagi untuk meminda akta mahkamah syariah itu dimuat
dalam senarai aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun masih tidak jelas sama ada speaker akan membenarkan Hadi membentangkan rang undang-undang itu.
Ia juga kemungkinan besar tidak sempat dibahaskan kerana berada di kedudukan ke-24 dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat.
Sebelum
ini, menteri undang-undang Nancy Shukri dilaporkan sebagai berkata
sukar untuk sebuah rang undang-undang persendirian dibaca kerana
kerajaan mempunyai beberapa lagi rang undang-undang untuk dibentang.
Jika gagal dibentang dalam sidang kali ini, ia dijangka dibawa ke sidang akan datang bermula 16 Mei depan.
Selain mahu menambah bidang kuasa mahkamah syariah, pindaan itu
antaranya mahu menggantikan Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah dengan
peruntukan:
"Mahkamah syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama
Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang
disenaraikan di dalam Senarai 1 Senarai Negeri di bawah Jadual
Kesembilan Perlembagaan Persekutuan."
Cadangan pindaan itu juga memasukkan peruntukan bahawa mahkamah syariah
berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah
yang dinyatakan, "sesuai dengan kehendak syariah Islam".
Mahkamah syariah sekarang ini diperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan.
Selain 21 undi daripada partinya, PAS dilihat meletakkan harapan kepada
anggota Parlimen beragama Islam, termasuk Umno dan PKR untuk
menyokongnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan