Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ditemubual dalam rancangan terbitan TV3 edisi khas "Soal Jawab" di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dibuat
pada masa yang tepat kerana ia merupakan satu sumber pendapatan tambahan
kepada negara ketika kejatuhan harga minyak dunia memberi impak negatif
ke atas pendapatan dan dividen petroleum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiada masa yang
benar-benar sesuai untuk melaksanakan GST, namun kejatuhan harga minyak
dunia menjadi antara faktor yang menyebelahi langkah kerajaan untuk
memperkenalkannya.
Katanya kerajaan telah membuat persediaan yang begitu lama untuk GST, sejak tahun 80-an lagi, dan ia bukan satu perkara baharu.
"Bila harga minyak jatuh, bermakna harga petrol dan diesel juga jatuh, yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Jadi, kita laksanakan (sekarang), dari segi makronya, sesuai masanya,
di mana kerajaan perlu kepada punca kewangan tambahan berikutan hasil
dividen daripada Petronas akan berkurangan apabila harga minyak jatuh,
jadi amat sesuai kita perkenalkan (GST) sekarang.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama Hamdan Ahmir dalam program Edisi Khas Soal Jawab TV3 yang disiarkan malam ini.
Najib berkata kerajaan juga telah memilih lebih daripada 4,000 barangan
perkhidmatan dan keperluan rakyat, sama ada diberi kadar sifar atau
dikecualikan daripada GST, langkah yang hanya dilaksanakan oleh
Malaysia.
Katanya GST merupakan penggantian kepada cukai jualan dan perkhidmatan
(SST) dan bukan cukai tambahan yang disalah ertikan oleh rakyat.
Selain GST, Najib berkata, kerajaan juga telah menambah nilai Bantuan
Rakyat 1 Malaysia (BR1M), di samping mengurangkan cukai peribadi antara
satu dan tiga peratus dan cukai korporat sebanyak satu peratus.
"Jadi, (ini adalah) pakej, jika kita lihat keseluruhannya, yang tidak
membebankan rakyat, kerana kita nak pastikan perlaksanaannya (GST) dari
segi penguatkuasaan.
"Kalau ada pihak yang membuat aduan, ia bukan kerana GST sebenarnya,
tetapi pihak peniaga, yang mengambil kesempatan dan (sesetengah) peniaga
yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Najib memberi contoh beberapa syarikat besar yang memberi jaminan
mengekalkan harga selepas perlaksanaan GST seperti Giant dan Mydin, di
samping penurunan harga sesetengah barangan lain seperti kereta.
"Yang kita mahu, penguat kuasa ambil tindakan ke atas peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab.
"Kalau pihak itu sepatutnya tidak mengenakan GST, tolong laporkan
kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, di sinilah letaknya
kuasa pengguna. Kita mesti tahu bahawa kita ada kuasa," katanya.
Perdana Menteri berkata rakyat boleh memilih untuk tidak mengunjungi
kedai-kedai yang telah mengambil kesempatan ke atas perlaksanaan GST dan
menyalahkan pihak kerajaan di atas kenaikan harga barang.
Beliau juga berkata pengguna harus melaporkan kegiatan yang tidak
bertanggungjawab ini kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
"Gunakanlah kuasa sebagai pengguna, lambat-laun, mereka yang mengeksploitasikan keadaan ini akan kehilangan pembeli," katanya.
Pelaksanaan GST adalah sebahagian daripada program penyusunan semula
cukai oleh kerajaan ke arah menjadikan sistem percukaian lebih cekap,
berkesan dan telus.
Ia menyaksikan Malaysia menyertai lebih 160 negara di dunia
melaksanakan GST, termasuk tujuh negara Asean - Indonesia, Filipina,
Thailand, Singapura, Vietnam, Kemboja dan Laos.
Malaysia melaksanakan GST dengan kadar enam peratus iaitu kadar paling rendah dalam kalangan negara Asean. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan